
Ramadan berdarah berulang di Gaza
ORANG ramai melihat jenazah mangsa serangan Udara tentera Zionis di Hospital Ahli Arab di Semenanjung Gaza. - AFP
Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA
19 Mac 2025, 7:15 am
BAITULMUQADDIS: Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, sambutan Ramadan umat Islam di Semenanjung Gaza sekali lagi dicemari dengan keganasan tentera Israel apabila Zionis melancarkan serangan udara secara besar-besaran pada awal pagi semalam sejak gencatan senjata dipersetujui pada Januari lalu.
Serangan itu menyaksikan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk terus menggunakan tindakan ketenteraan menentang kumpulan pejuang Hamas.
Menerusi kenyataan, Agensi Keselamatan dan Pasukan Pertahanan Israel memaklumkan, serangan menyeluruh itu dilancarkan awal pagi semalam dengan menyasarkan semua kubu Hamas.
“Kita akan kembali ke Gaza dan menghancurkan semuanya, terutamanya Hamas,” kata Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz.
Rentetan serangan itu, pegawai Hamas, Basem Naim memberitahu, lebih 400 orang dilaporkan terbunuh setakat ini termasuk kanak-kanak selain ratusan lagi cedera.
Serangan itu turut meragut nyawa pegawai kanan keselamatan Hamas, Mahmoud Abu Watfa.
Basem juga menuduh Israel ‘sengaja mengakhiri gencatan senjata yang dipersetujui dengan alasan tidak munasabah’.

Menerusi kenyataan berasingan, Hamas menuduh Netanyahu dan kerajaannya yang melanggar persetujuan gencatan senjata sehingga menyebabkan semua penduduk Gaza dalam risiko ‘tidak diketahui’.
“Bila Israel mulakan kembali perang ini, ia jelas menunjukkan Netanyahu sebenarnya langsung tidak kisah dengan nasib tebusan, maka jangan salahkan kami jika nyawa mereka dalam bahaya. Apa yang dilakukan Israel ada akibatnya,” kata kumpulan pejuang itu.
Kementerian Pertahanan Gaza turut menyatakan serangan udara yang dilancarkan Israel menyebabkan struktur bangunan yang sudah pun rapuh terus runtuh dan menghempap orang ramai.
Katanya, terdapat sejumlah penduduk terperangkap di bawah bangunan yang runtuh di kebanyakan kawasan.
Sebanyak tiga kediaman di Deir al-Balah di tengah Gaza, sebuah bangunan di Gaza City dan beberapa infrastruktur di Khan Younis serta Rafah rosak teruk akibat serangan tersebut.

Petugas lapangan CNN di Gaza juga memaklumkan bunyi letupan dan tembakan dapat didengar di hampir semua tempat di Gaza.
SASARKAN PEMIMPIN HAMAS
Dalam pada itu, tentera Israel menyatakan serangan itu bagi menyasarkan pemimpin pertengahan Hamas, pegawainya dan infrastruktur yang diduduki kumpulan pejuang itu.
Ketenteraan Zionis juga bersedia memberikan komitmen tertinggi untuk terus menyerang Hamas ‘selama yang boleh’.
“Mulai sekarang, Israel akan menentang Hamas dalam kapasiti paling kuat dan menyeluruh. Kumpulan itu akan hancur selama-lamanya dari muka bumi Gaza sehingga mereka membebaskan kesemua tebusan,” menurut Katz
PASUKAN PENGAMAN
Sebelum itu, Mesir mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mempertimbangkan penempatan pasukan pengaman antarabangsa di
Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Cadangan itu dikemukakan semasa mesyuarat yang diadakan di Kaherah antara Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, duta asing serta wakil antarabangsa bagi membincangkan pemulihan sektor penjagaan kesihatan Gaza.
“Terdapat cadangan untuk UNSC mengkaji penempatan pasukan pengaman antarabangsa di Gaza dan Tebing Barat.
“Ini akan dilaksanakan melalui penerimaan resolusi UNSC bagi mengerahkan pasukan pengaman atau perlindungan antarabangsa.
“Mereka akan diberi mandat dan kuasa yang jelas, mengikut jadual khusus menjamin penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka,” kata Abdelatty dalam kenyataan.
Sidang kemuncak tergempar Arab mengenai Gaza yang diadakan di Mesir pada 4 Mac turut menyeru penempatan pasukan pengaman di Gaza dan Tebing Barat sebagai sebahagian daripada usaha politik untuk menubuhkan sebuah negara Palestin.
Menurut Kementerian Luar Mesir, rancangan Arab bagi membina semula Gaza tanpa memindahkan penduduk Palestin di wilayah itu telah mendapat sokongan serantau dan antarabangsa yang ketara.
Abdelatty turut menggariskan keperluan utama bagi kejayaan rancangan itu, termasuk menstabilkan gencatan senjata di Gaza, menguruskan pemulihan awal dan usaha pembinaan semula.
Kesemua usaha itu dilakukan dengan memastikan ia terus berada di bawah kawalan rakyat Palestin, dan menganggap Gaza sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin.
Beliau turut menekankan keperluan untuk membolehkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) kembali ke Gaza dan melaksanakan tanggungjawabnya.
Selain itu, Abdelatty memaklumkan Mesir dan Jordan sudahmula melatih pegawai polis Palestin sebagai persediaan untuk penempatan mereka di Gaza.
Ulasan
Catat Ulasan