
Ramadan: PAS anjur tazkirah harian selepas Zohor
March 4, 2025
KOTA BHARU: Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan menganjurkan tazkirah harian selepas solat zohor bertempat di Surau Dewan Zulkifli Mohamad, di sini sepanjang bulan Ramadan.
Persuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, majlis tersebut merupakan sebahagian pengisian dalam ‘Madrasah Ramadan’ yang amat sinonim dengan bulan itu.
Menurut beliau kupasan ilmu agama akan disampaikan kepimpinan kerajaan termasuk Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan Exco di samping pimpinan tertinggi PAS Pusat.
“Seperti biasa kita mengadakan tazkirah ringkas di sini oleh pentazkirah kita dan sebahagian besar yang ada merupakan pentazkirah yang akan menyampaikan tazkirah mereka masing-masing.
“Seharusnya buat pengisian terbaik untuk kita sebagai Madrasah Ramadan itu tempat kita mendidik mentarbiah sesuai dengan, Ramadan menjadi bulan yang penuh keberkatan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah pertama serta melancarkan Majlis Perasmian Tazkirah Zohor Ramadan PAS Kelantan di Jalan Tok Pati di sini tengah hari kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu menegaskan, pengurusan masa yang baik merupakan elemen penting dalam usaha meraih pahala dan keredhaan tuhan pada bulan Ramadan.
Beliau berkata lagi, Ramadan merupakan bulan terbaik sebagaimana keistimewaan ditawarkan termasuk lailatur qadar yang menjadi satu malam lebih baik dari 1,000 malam.
“Kita beri satu ruang untuk kita semua dapat bimbingan rohani dalam bulan Ramadan, bagi ambo sangat penting kita mengurus masa, bulan Ramadan ini kita kena urus masa yang terbaik.
“Sebab masa ini kalau tidak mengurus dengan baik dia akan pergi begitu sahaja dan kita akan terlepas dengan tidak ada pengisian, jadi ketika ini kita kena rancanglah,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan