Rasuah Sabah: LFL akan serah video belum diedit pada SPRM


Berita
Rasuah Sabah: LFL akan serah video belum diedit pada SPRM
Diterbitkan: Mar 11, 2025 11:46 AM

Pengarah eksekutif Lawyers for Liberty Zaid Malek akan menyerahkan kepada SPRM hari ini video penuh yang belum diedit mengenai skandal rasuah Sabah, menurut pengasas bersama organisasi itu Latheefa Koya.

Latheefa berkata Zaid akan hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sekitar jam 2 petang untuk menyerahkan pemacu USB dan peranti asal yang digunakan pemberi maklumat untuk merakam video yang membabitkan ketua menteri Sabah Hajiji Noor, lapan Adun dan speaker DUN Sabah.

"Tiada lagi alasan untuk SPRM tidak menyiasat kes ini," kata Latheefa semasa sidang media bersama Zaid di pejabat LFL di Petaling Jaya.

Dia juga mendedahkan video yang tidak diedit itu diperoleh terus daripada pemberi maklumat yang meminta bantuan LFL untuk mendesak siasatan SPRM.

Pemberi maklumat sebelum ini dikenal pasti sebagai ahli perniagaan tetapi Latheefa hari ini mendedahkan namanya sebagai "Albert".

“Dia tidak dinamakan sebelum ini. Namanya Albert.

"Saya tidak akan menyebut nama keluarganya kerana kebimbangan terhadap keselamatannya, yang saya rasa kita semua faham," katanya.

November lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa pemberi maklumat itu mendakwa dia menerima ugutan bunuh melalui panggilan Whatsapp dan imej yang dihantar ke telefonnya.

Ulasan