Rasulullah amalkan ‘nepotisme’, ‘kronisme’?



Rasulullah amalkan ‘nepotisme’, ‘kronisme’?

JAKIM wajar tegas
March 17, 2025

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertindak tegas terhadap pihak yang sewenang-wenangnya merendah-rendahkan Rasulullah SAW untuk dijadikan bahan dalam mempromosi produk.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, status media sosial yang merujuk Rasulullah SAW mengamalkan ‘nepotisme’ mahupun ‘kronisme’ sebenarnya boleh disifatkan merendah-rendahkan, bahkan menghina batang tubuh Rasulullah SAW.

“Istilah-istilah tersebut lahir daripada amalan gereja dan sang penguasa di Barat pada kurun-kurun sebelumnya, begitu juga istilah-istilah lain seperti ‘sekularisme’ dan ‘liberalisme’,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Pokon Sena itu berkata, ia menggambarkan suatu amalan korupsi dan membawa mesej yang sangat negatif dan buruk terhadap mereka yang mengamalkannya.

“Bagaimana mungkin istilah yang sama disandarkan terhadap diri Rasulullah SAW hanya mengambil maksud istilah-istilah tersebut secara literal?” persoalnya.

D ewan Ulamak PAS katanya berpandangan status tersebut tidak wajar dan bersikap biadab, malah pihaknya juga menggesa buku-buku terbitan individu terbabit juga disiasat secara teliti dan mendalam oleh pihak berkuasa kerana bimbang penggunaan istilah menyeleweng disandarkan kepada Rasulullah SAW.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook dengan nama ‘Ainon Mohd’ membuat hantaran di media sosial mengenai isu berkenaan, yang kemudiannya mencetuskan pelbagai reaksi serta kecaman daripada warganet.

Dalam hantaran tersebut, beliau mendakwa bahawa demokrasi Barat tidak mengamalkan nepotisme dan kronisme, sebaliknya menyatakan bahawa Rasulullah SAW sebagai ketua negara Islam di Madinah pernah mengamalkannya.

“Sebagai ketua negara Islam Madinah, Nabi amalkan nepotisme dan kronisme,” dakwanya sambil memberikan contoh Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar sebagai mertua, Sayyidina Uthman (menantu) serta Sayyidina Ali (menantu dan sepupu).

Hantaran itu juga menimbulkan persoalan sama ada kronisme dan nepotisme wajar diamalkan dalam konteks zaman sekarang. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

Ulasan