
Razman tahu digantung tugas melalui laporan media
ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia di pusat khidmat DUN di Bagan Serai semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Oleh WAT KAMAL ABAS
6 Mac 2025, 7:40 am
BAGAN SERAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria enggan mengulas laporan beliau direhatkan daripada tugas sebagai Pesuruhjaya Pas Perak.
Ketika ditemui Utusan Malaysia di pusat khidmat beliau di sini semalam, Razman berkata, beliau hanya mengetahui mengenai perkara itu melalui laporan media.
“Saya hanya tahu (digantung tugas Pesuruhjaya Pas Perak) melalui laporan media. Tiada komen buat masa ini,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini media melaporkan Razman telah direhatkan daripada tugas Pesuruhjaya Pas Perak.
Dalam poster ucapan sempena menyambut Ramadan, tidak disertakan jawatan Razman sebagai Pesuruhjaya Pas Perak.
Sebaliknya poster tersebut hanya menyertakan jawatan Razman sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak, Adun Gunung Semanggol dan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak.
Sehingga kini belum ada pengesahan rasmi daripada Razman atau pun Pas sendiri mengenai perkara tersebut.
Malah Pas Perak masih menunggu pengesahan rasmi mengenai laporan tersebut dengan Setiausaha Dewan Pemuda Pas Perak Nurhafizul Badrul Hisham berkata, setakat ini, mereka masih menunggu makluman rasmi daripada pimpinan parti.
“Setakat ini tiada apa-apa surat rasmi jadi tidak boleh nak respons berlakunya pertukaran. Tidak ada lagi hitam putih.
“Perkara ini hanya boleh disahkan menerusi makluman rasmi daripada pimpinan parti,” katanya di Tapah baru-baru ini.
Sebelum ini Razman terpalit dengan beberapa isu antaranya beliau mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan Kumpulan YTL Corporation Berhad (YTL).
Razman kemudian memohon maaf kepada Hannah.
Ulasan
Catat Ulasan