Simpanan hari tua sepatutnya bertambah
Oleh Mohd Nizam Mohamad Yatim
5 Mac 2025, 7:15 am
Sabtu lalu ramai yang gembira apabila melihat jumlah wang dalm akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka bertambah terutama Akaun Persaraan atau dulunya dikenali sebagai Akaun 1.
Pertambahan itu kerana KWSP mengumumkan pemberian dividen sebanyak 6.3 peratus untuk Akaun Konvensional dan Syariah, yang tertinggi sejak 17 tahun lalu.
Mungkin ada yang dapat dividen sehingga berpuluh ribu ringgit dan ada juga yang kurang, ikut kepada jumlah simpanan yang ada di dalam ketiga-tiga akaun. Dua lagi akaun KWSP adalah Akaun Sejahtera yang boleh dikeluarkan untuk tujuan tertentu seperti kesihatan, pendidikan dan perumahan.
Satu lagi akaun adalah Akaun Fleksibel yang memberikan pencarum fleksibiliti untuk membuat pengeluaran pada bila-bila masa bagi keperluan kewangan jangka pendek.
Jika dua akaun tersebut boleh dikeluarkan, Akaun 1 pula boleh dikeluarkan sebahagian apabila pencarumnya berusia 50 tahun dan sepenuhnya 55 tahun. Nama pun Akaun Persaraan, sudah tentulah ia dibuat untuk simpanan hari tua.
Perkara itu sudah jelas bagi pencarum, namun semenjak pandemik Covid-19 pada 2020 yang menyaksikan ekonomi terhenti dan ramai yang terjejas akibat hilang pekerjaan, maka ada yang melihat Akaun 1 sebagai ‘penyelamat’.
Dana daripada Akaun 2 tidak cukup untuk mereka menanggung beban ekonomi yang ditanggung.
Mereka mahu kerajaan memberi kelonggaran kepada pencarum untuk membolehkan pencarum mengeluarkan sebahagian daripada dana Akaun 1 itu bagi menampung permasalahan ekonomi yang ditanggung.
Kerajaan bagaimanapun bertegas dana daripada akaun tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan kerana ia sememangnya untuk pencarum menghadapi hari persaraan mereka dengan tenang. Dengan kos hidup yang semakin tinggi, maka dana persaraan yang ada perlulah mencukupi
Lebih-lebih lagi sekiranya pencarum menghidapi masalah kesihatan. Jika dananya tidak mencukupi, jawabnya mereka perlu bekerja sehingga melepasi usia 55 tahun atau 60 tahun.
Namun selepas empat tahun pandemik, tuntutan agar dana Akaun 1 boleh dikeluarkan terus disuarakan oleh sesetengah pihak termasuk ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat.
Semalam sekali lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak bercadang untuk memberi kelonggaran pengeluaran Akaun 1 kerana ia berisiko berisiko menjejaskan simpanan pencarum sendiri apabila mereka bersara kelak.
Jelasnya, prinsip KWSP adalah sebagai simpanan untuk hari tua dan tidak seharusnya mempunyai kelonggaran berlebihan. Memang itulah juga jawapan kerajaan terdahulu sebelum beliau apabila ada pihak yang mahu Akaun 1 diberi kelonggaran.
Pencarum perlu sedar simpanan KWSP sepatutnya semakin bertambah dengan caruman daripada pendapatan yang diperoleh setiap bulan dan juga pulangan daripada dividen yang diperoleh setiap tahun.
Tanpa disiplin dan pengurusan yang ketat, wang simpanan KWSP boleh terhakis sebelum usia persaraan. – UTUSAN
Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan