Skandal Sabah: Latheefa akan dedah perkembangan penting esok


Berita
Skandal Sabah: Latheefa akan dedah perkembangan penting esok

Diterbitkan: Mar 10, 2025 3:20 PM
Dikemaskini: 3:25 PM

Kumpulan NGO guaman, Lawyers for Liberty (LFL) akan mengadakan sidang media esok mengenai skandal rasuah Sabah.

"Satu perkembangan baru yang penting telah muncul dalam kes ini, dan akan disentuh oleh bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya,” menurut LFL dalam kenyataan.

Latheefa adalah salah seorang pengasas bersama LFL.

Kumpulan peguam itu terlibat aktif dalam pelbagai isu berkaitan keadilan, termasuk memperjuangkan nasib seorang pemandu e-hailing pekak yang diserang oleh pengiring polis bagi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

LFL berkata kekecewaan awam semakin memuncak terhadap "kegagalan mengambil tindakan serius" dalam kes Sabah yang didedahkan tahun lepas.

“Namun, pemberi maklumat telah dinafikan perlindungan," kata LFL, sambil menambah bahawa tiada siapa yang dipertanggungjawabkan setakat ini.

Sebelum ini, Latheefa menegaskan bahawa video tersebut mengandungi "bukti jelas" tentang rasuah dan memerlukan siasatan.
Latheefa Koya (kiri)

"Biar saya jelaskan mengapa.

“Video-video itu menunjukkan beberapa ahli Dewan Undangan Negeri mengakui mereka menerima wang daripada seorang ahli perniagaan sebagai pertukaran untuk menyokong lesen penerokaan perlombongan daripada Ketua Menteri Sabah," katanya.

Bagaimanapun, ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menolak video itu sebagai bukti yang boleh diterima, atas alasan ia telah disunting.

Latheefa menegaskan bahawa sebelum ini, klip audio "Boleh saya nasihatkan sesuatu" yang melibatkan perbualan antara bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, digunakan SPRM sebagai bukti di mahkamah walaupun ia adalah versi suntingan.

Video-video Sabah, yang diberikan kepada Malaysiakini, diubah suai untuk mengubah suara ahli perniagaan itu dan menyembunyikan identitinya.

Selain video, ahli perniagaan itu juga menyediakan banyak mesej WhatsApp yang memperincikan perbualan yang didakwa melibatkan anggota-anggota Dewan Undangan Negeri berkaitan transaksi yang berlaku.

Ulasan