
Surau dikunci, penduduk tidak dibenarkan solat
Pangsapuri Pandanmas 2
March 8, 2025
KUALA LUMPUR: Penduduk beragama Islam Pangsapuri Pandanmas 2 kecewa selepas pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) tidak membenarkan penggunaan surau di blok kediaman itu.
Pengerusi sementara surau, Ustaz Hoslan Hussin berkata, pihak JMB telah bertindak mengunci surau berkenaan sejak 2023 yang kini diubah menjadi stor, dengan sejadah serta barangan lain dilupuskan.
“Kita mohon berkali-kali, dia (JMB) tak endahkan, itu tak boleh, ini tak boleh. Apa yang paling menyedihkan juga, pada tahun lepas ada satu penduduk di situ meninggal dunia. Apabila surau tak buka, tiada AJK (ahli jawatankuasa) apa semua, jadi jenazah dibawa ke luar kawasan.
“Apabila saya balik daripada kerja dan dengar perkara itu, saya sedihlah. Alangkah hinanya kita hidup dalam satu komuniti, tiba-tiba kita dipijak, Islam dipijak-pijak sebegini,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, semalam.
Jelasnya, laporan telah dibuat oleh beliau kepada pihak berkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun sehingga kini tiada sebarang tindakan dibuat, selain turut memberikan harapan palsu kepada penduduk terlibat.
“Saya dah buat laporan kepada JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan), mereka kata ‘tunggu dan lihat’, ‘tunggu dan lihat’, ‘nanti kita akan semak detail apa semua’. Mereka melambat-lambat (proses),” ujarnya.
DBKL telah mengeluarkan surat pada 5 Disember 2024 yang mengatakan bahawa pihak JMB akan mempertimbangkan permintaan penduduk untuk menggunakan surau berkenaan, tetapi tidak dibenarkan membuat ceramah mahupun perhimpunan.
Pihak JMB kemudiannya bersetuju dengan permintaan tersebut selepas menandatangani surat persetujuan di Menara DBKL bagi kebenaran menggunakan surau untuk tujuan solat oleh penduduk.
“Bila balik daripada itu, saya minta kunci nak sembahyang, dia (JMB) tak bagi juga. Inilah dia dahsyatnya. Dia masih lagi enggan bagi. Bila dia enggan bagi, kita pun dah rasa tercabar, terhina.
“Jadi saya buat aduan ke penguatkuasa (JAWI). Penguatkuasa dah ambil maklum balas dan mereka hantar dua pegawai daripada Pejabat Mufti untuk semak semula kedudukan kiblat.
“Tapi mereka tidak dibenarkan masuk. Mereka kata apa? ‘Mufti tiada bagi mereka surat’. Mufti nak bagi mereka surat? Mereka ini siapa? Mereka JMB sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan