Tangguh lagi, politik negara terus `hangat’, berwarna-warni
Oleh Yulpisman Haji Asli
8 Mac 2025, 7:15 am
Hasrat banyak pihak untuk menyaksikan Akta Pendanaan Politik diwujud dan dikuatkuasakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), nampaknya tidak kesampaian.
Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said kelmarin, bahawa Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan akta itu perlu diperhalusi lebih teliti sebelum dikuatkuasakan pada PRU16.
Menurut Azalina pihaknya perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan, bukan sahaja daripada ahli-ahli politik. Ada tiga aspek penting katanya, yang perlu ditekankan pada RUU berkenaan iaitu parti politik, ahli politik dan kempen pilihan raya.
Kita bagaimanapun bersyukur, setakat ini pihak-pihak berkepentingan-selepas sesi libat urus berkaitan penetapan dasar bagi penggubalan RUU Pendanaan Politik kelmarin, sepakat menolak penglibatan dana asing untuk membiayai mana-mana parti politik di negara ini.
Setidak-tidaknya, sudah ada pendirian jelas di peringkat mereka implikasi buruk penyaluran dana asing kepada parti-parti politik di negara ini, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan parti-parti yang membentuk kerajaan.
Bagaimana pula dengan parti-parti politik, `pemain utama’ dalam akta ini? Memandangkan akta belum ada, adalah dijangkakan episod sama sebelum ini, bakal berulang pada Pilihan Raya Negeri dan PRU akan datang. Deretan laporan polis, SPRM dan kes difailkan di mahkamah. Akan ada hilang kerusi dan pilihan raya diadakan semula.
Meskipun pihak berkepentingan sepakat menolak penglibatan dana asing untuk membiayai parti-parti politik, namun aliran masuk dana boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan mekanisme. Ini termasuk saluran dana melalui individu atau proksi.
Mengikut laporan, sepanjang PRU15, di Selangor sahaja sebanyak 354 laporan polis dibuat atas pelbagai kesalahan dengan 27 kertas siasatan dibuka. Dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula dilaporkan menerima 11 aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang kempen PRU berkenaan. Itu yang dilaporkan. Bagaimana dengan negeri-negeri lain dan kes-kes yang tidak dilaporkan?
Itulah sebabnya kita memerlukan kewujudan suatu akta yang mendefinisikan secara jelas mengenai pendanaan politik, bentuk, cara atau apa sahaja mengenainya sebelum negara memasuki PRU-16. Ia penting bagi menjamin ketelusan politik negara.
Berapa lama masa diperlukan oleh pihak kerajaan dan parti-parti politik untuk membolehkan RUU digubal, dibentang dan dikuatkuasakan? Sejauh mana pula iltizam dan keikhlasan mereka untuk mempercepat pelaksanaan RUU itu? Setakat ini tiada kerangka waktu yang jelas untuk ia dimuktamadkan.
Mengikut laporan media, isu mengenai akta sebenarnya telah lama dibangkit dan dibincangkan sekitar 2015, iaitu 10 tahun lalu. Namun, ia masih gagal dibentangkan. Di manakah komitmen dan kesungguhkan mereka yang terlibat jika tempoh 10 tahun pun belum memadai?
Semua maklum, negara bakal berdepan siri pilihan raya selepas ini. Pelbagai isu yang membelenggu parti-parti politik membabitkan dana kempen, sogokan politik dan lain-lain, bakal kembali berbangkit. Ini belum mengambil kira isu lompat parti. Nampaknya, suasana politik Malaysia akan terus `hangat’ dan berwarna-warni. – UTUSAN
Yulpisman Asli adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan