
Oleh Zulfaizan Mansor - Mac 8, 2025 @ 8:52pm
Tunku Mahkota Ismail berharap semua pihak mengikut cara Johor yang disifatkan bekerja dalam senyap dan mementingkan hasil yang baik. - IG Stories @hrhcrownprinceofjohor
KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berharap semua pihak mengikut cara Johor yang disifatkan bekerja dalam senyap dan mementingkan hasil yang baik.
Perkara itu disuarakan Tunku Mahkota Ismail di laman Instagram miliknya dan ia dipercayai berkaitan pemain warisan Harimau Malaya yang masih menjadi persoalan dalam kalangan peminat.
Menerusi satu komen di laman sama, Tunku Mahkota Ismail yang menjadi watak penting dalam revolusi skuad kebangsaan meminta semua pihak bersabar, beradab dan bersyukur.

"Di Johor atau cara Johor, kami buat kerja tak perlu heboh-heboh, digembar-gemburkan sampai ke langit, beri harapan palsu dan penghujung tiada apa-apa. Cara kami di Johor adalah tindakan melebihi kata-kata.
"Kami tidak bercakap, kami buat ia menjadi kenyataan. Apabila kami berjanji, kami akan berjuang untuknya. Sudah bertahun kami buktikan setiap benda yang diumumkan akan dilaksanakan dan menjadi realiti.
"Tetapi tak semua orang faham dan tak perlu kita salahkan mereka, mereka tak biasa. Dion Cools, Daniel Ting, Darren Lok, Stuart Wilkin, Corbin Ong, Endrick Dos Santos, Romel Morales. Tahu tahu dah jadi.
"Takda heboh-heboh menggelupur. Ubahlah pemikiran itu. Tengok Johor, ikut cara Johor. Bersabar, beradab, dan bersyukur. Insha'Allah, ALLAH kurniakan kejayaan," tulis Tunku Mahkota Ismail.
Terdahulu, media melaporkan calon pemain warisan dari Belanda, Ferdy Druijf berkongsi cerita bahawa dia dikaitkan memiliki pertalian darah dengan Malaysia mula dicetuskan oleh sebuah akaun Instagram hingga berita itu tular.
Bekas penyerang AZ Alkmaar itu dilaporkan berkata bahawa dia terkejut apabila ada yang mengaitkan dirinya dengan Malaysia menerusi sebelah neneknya yang didakwa memiliki darah Malaysia.
Nama Druijf menjadi bualan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air selepas penyerang itu dikatakan bakal menyarung jersi Harimau Malaya sebagai pemain warisan.
Ulasan
Catat Ulasan