
Tetamu Allah pada bulan Ramadan
March 3, 2025
SELAMAT menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh Muslimin dan Muslimat yang menyahut seruan Allah.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٨٣
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa!” [Surah al-Baqarah: 183]
Firman Allah SWT:
شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ١٨٥
“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia, penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan pembeza (antara yang hak dengan yang batil). Oleh sebab itu, sesiapa antara kamu yang hadir (di negeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu, dan sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan, (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” [Surah al-Baqarah: 185]
Ketibaan bulan Ramadan setiap tahun dinanti-nanti dan ditunggu-tunggu oleh setiap orang yang beriman, bagi menjadi tetamu Allah Yang Maha Penyayang kepada hamba-Nya dengan hidangan makanan jasad, roh, dan akal, yang disediakan dengan kurniaan fadilat yang besar tidak terhitung nilai dan banyaknya.
Ibadat puasa mencabar roh, jasad, dan akal bagi diri, keluarga, dan umat Islam seluruhnya. Bersamanya ialah kelebihan membina syakhsiah dengan sifat taqwa yang menentukan martabat manusia di sisi Allah. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai manusia, sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]
Ibadat puasa yang mewajibkan menahan diri daripada nafsu makan dan lain-lain — walaupun dihalalkan pada masa yang lain — bertujuan mentarbiah jasad yang bernafsu agar dapat dikawal oleh akalnya yang dikawal oleh hati yang beriman kerana mentaati Allah, bukan seperti binatang yang bernafsu, tetapi tidak berakal. Beribadat kepada Allah pula bukan seperti malaikat yang tidak bernafsu yang sentiasa taat kepada Allah.
Maka, puasa dapat mendidik diri manusia dengan sifat fitrahnya agar dapat melaksanakan tugas yang ditetapkan kepadanya di alam dunia mengikut ketetapan Allah kepada mereka, supaya beribadat memperhambakan diri kepada Allah, mentadbir urusan dunia, dan menunaikan hukum Allah Yang Maha Adil.
Bulan Ramadan pula dipilih sebagai masa al-Quran diturunkan ke langit dunia atau mawaqi‘ al-nujum. Seterusnya, al-Quran diwahyukan secara berperingkat dan mengikut sebab penurunan kepada Rasulullah SAW dan umatnya, dalam tempoh masa 23 tahun dalam dua marhalah Makkiyyah dan Madaniyyah dengan sempurna dan lengkap, sama ada secara qat‘iyyat, iaitu perkara rukun dan dasar agama yang tetap tidak berubah dalam kehidupan manusia, ataupun dasar umum yang menangani perubahan dan perbezaan dalam kehidupan manusia mengikut sempadan maqasid syariah yang memberikan manfaat dan menolak mudarat mengikut sempadan kejadiannya.
Al-Quran ialah petunjuk dan kebijaksanaan Rasul ialah contoh pelaksanaannya, manakala para ulama’ ialah pewaris ajarannya dan para pemimpin pula ialah pelaksananya. Firman Allah SWT:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), serta ulu al-amr antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58–59]
Pada bulan Ramadan, berlaku peristiwa peperangan besar yang memberikan kemenangan kepada Islam terhadap musuhnya yang melampau menentang Islam kerana takut akan keadilannya. Contohnya, Peperangan Badar pada zaman Rasulullah SAW dan Peperangan ‘Ain Jalut terhadap kaum Tatar yang paling ganas, yang berakhir dengan ramai raja mereka memeluk Islam.
Pada zaman kini pula, tentera Mesir pernah mengalahkan Yahudi Zionis dan memusnahkan Garis Bar-Lev yang kebal. Terkini, kumpulan Islam Palestin berjaya mengalahkan Zionis dalam perang persenjataan dan diplomatik, menjadikan cahaya Islam menembusi negara bukan Islam di barat dan timur. Di sini menunjukkan bahawa cahaya Islam tidak boleh dipadamkan oleh seluruh musuhnya dan al-Quran juga tidak boleh dihapuskan. Segala yang melawannya pasti menemui kegagalan.
Semuanya menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah dan agama-Nya, di samping ibadat puasa dijanjikan pahala yang berganda tidak terhingga.
Allah menjanjikan bahawa sesiapa yang berniat melakukan kebajikan, maka dia diberikan satu pahala. Setelah menunaikannya, maka dia digandakan lagi sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda, melainkan ibadat puasa yang ditentukan Allah dengan gandaan yang lebih lagi.
Makan minum semasa berbuka puasa dan sahurnya diberikan pahala dan keberkatan. Semua amal kebajikan digandakan pada bulan Ramadan. Maka, Rasulullah SAW melakukan ibadat khusus solat tarawih, bertadarus al-Quran, bertahajud, bersedekah menjamu berbuka, dan lain-lain amalan biasa.
Allah memberikan kurnia satu malam bernama Lailatul Qadar yang digandakan kelebihan lebih baik daripada 1,000 bulan dalam apa-apa sahaja amal kebajikan yang dilakukan pada malam itu. Maka, Rasulullah SAW beribadat setiap malam, khususnya pada 10 akhir Ramadan bagi mendapat kelebihan malam yang mulia itu sebagaimana dinyatakan oleh firman Allah SWT:
إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ ١ وَمَآ أَدۡرَىٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ ٢ لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٞ مِّنۡ أَلۡفِ شَهۡرٖ ٣ تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذۡنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمۡرٖ ٤ سَلَٰمٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ ٥
“Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. (1) Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? (2) Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada malam itu, turun malaikat-malaikat dan Malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. (4) Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. (5)” [Surah al-Qadr: 1–5]
Kesimpulannya, seluruh Ramadan benar-benar dipersilakan Allah untuk kita menjadi tetamu-Nya. Maka, terimalah dengan rasa syukur kepada Allah dengan bersungguh-sungguh beribadat pada bulan yang mulia ini.
Disimpulkan bahawa awalnya rahmat, pertengahannya keampunan daripada dosa, dan akhirnya dibebaskan daripada Neraka, dengan syarat menjadi hamba Allah yang beriman dan budiman yang menghasilkan taqwa.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 2 Ramadan 1446 / 3 Mac 2025
[Bil: 16 / 2025] - HARAKAHDAILY 3/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan