
Tidak perlu bebani industri sawit dengan cukai baru
Isu minyak masak
March 26, 2025
MERUJUK kepada kenyataan Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) yang disiarkan di Utusan Malaysia 23 Mac 2025, Sebagai Ketua Portfolio Perladangan dan Komoditi PN, saya menentang keras sebarang usaha memperkenalkan cukai baru kepada industri sawit.
Industri sawit telah dibebani dengan berbagai cukai antaranya:
1. Cukai eksport 8.5 – 9.5 peratus bagi setiap tan CPO dan dalam bajet 2025 telah dinaikkan ke 10 peratus pada ambang harga CPO melebihi RM4,050 satu tan minyak sawit mentah.
2. Cukai jualan CPO bagi Sabah 7.5 peratus dan Sarawak 5 peratus serta Cukai Palm Kernel juga 5 peratus.
3. MPOB Cess bernilai RM16 setiap satu tan CPO.
4. Windfall levy pada ambang RM3,000 bagi Semenanjung sementara RM3,500 bagi Sabah dan Sarawak pada kadar 3 peratus dari FFB. Bagi Sabah dan Sarawak telah dinaikkan dari 1.5 peratus pada Disember 2022 kepada 3 peratus bermula 1 Januari 2023.
Ramai rakyat Malaysia tidak tahu bahawa windfall levy mula diperkenalkan bermula 1 Januari 1999 dan digantung pada tahun 2003.
Pada Jun 2007 Kerajaan telah memperkenalkan MPOB Cess Order 2007 untuk Skim Penstabilan Harga Minyak Masak.
Nilai cukai sebanyak RM2.00 hingga RM30.00 setiap tan CPO pada ambang harga CPO RM1,500 – RM3,000.
Pada Julai 2008 windfall levy diperkenalkan pada nilai ambang harga CPO RM2,000 dengan nilai cukai 3 peratus bagi Semenanjung dan 1.5 peratus untuk Sabah dan Sarawak dan pekebun kecil dikecualilan dari membayar cukai ini.
Sebenarnya kerajaan telah lama melakukan intervensi bagi menstabilkan harga minyak masak melalui cukai windfall levy yang diambil dari industri sawit.
Sejak dari tahun 2019 hingga 2023 Kerajaan telah mengutip RM6.1 bilion yang mana wang ini digunakan bagi mensubsidi minyak masak yang berjumlah 60,000 metrik tan sebulan.
Dengan harga CPO sekitar RM4,000 satu tan dijangkakan akan mengutip sekitar RM1.2 – RM1.5 bilion.
Jadi apa perlunya industri sawit dibebani dengan cukai baru sedangkan industri ini telah berjasa kepada rakyat Malaysia bermula dari tahun 1999.
Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri KPDNKK Fuziah Salleh di Parlimen bahawa 60,000 metrik tan mencukupi bagi menampung keperluan 80 peratus isi rumah dan industri mikro dengan setiap pembelian yang dihadkan hanya 3 paket minyak masak.
Walaupun industri sawit telah menyumbang melalui windfall levy sekitar RM1 bilion setahun kepada subsidi minyak masak mengapa ianya sukar didapati. Apakah punca masalahnya?
Kita tahu sistem E-COSS dibangunkan bagi memantau pengerakkan dan penyelewengan barang kawalan bersubsidi. Sistem ini merekodkan pergerakkan barang kawalan bersubsidi dari pengeluar hingga ke pengedar dan peruncit.
Tapi mengapa minyak masak bersubsidi hilang dan sukar didapati?
Di mana silapnya? Apakah pasukan penguatkuasa kurang efektif, kekurangan anggota atau pun terjadi seperti beras tempatan yang dicampurkan dengan beras import dijual pada harga beras import.
Adakah ini juga terjadi kepada minyak masak bersubsidi dibotolkan dan dibungkus semula sebagai minyak tidak bersubsidi bagi mengaut keuntungan yang lebih tinggi atas derita rakyat.
Semua ini perlu diperjelaskan oleh kerajaan dan bukan hanya menuding jari bahawa di luar bandar tidak ada jaringan rangkaian internet sukar untuk dikemaskini sistem seperti yang disebutkan dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.
Kerajaan perlu lebih tegas dan serius menangani isu kartel, penipuan minyak bersubsidi dan penyeludupan ke negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Oleh itu saya berpendapat tidak perlu diperkenalkan Cukai Khas Minyak Masak seperti yang dicadangkan oleh Pengerusi YPNM kerana ia akan membebankan lagi industri sawit negara. Sedangkan industri sawit negara hari ini mengalami masalah pengeluaran yang rendah dan jumlah pokok berusia lanjut yang tinggi disebabkan kenaikan kos operasi dan biaya penanaman semula yang meningkat tinggi
BAKRI JAMALUDDIN
Ketua Portfolio Perladangan dan Komoditi Perikatan Nasional
Ahli Parlimen Tangga Batu – HARAKAHDAILY 26/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan