

Berita
Tisu percuma untuk menggapai rahmat Tuhan
Diterbitkan: Mar 9, 2025 9:03 AMPadang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MPK1) yang terletak berhadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 itu sudah terlalu sinonim dengan acara berbuka puasa beramai-ramai setiap kali Ramadan.
Kedudukannya yang strategik – berhampiran masjid negeri dan Bazar Ramadan Mahkota – menjadikan lokasi itu tumpuan pelbagai pihak.
Ia memudahkan pengunjung bandar raya Kuantan membeli juadah, berbuka puasa beramai-ramai dan kemudiannya menunaikan solat di masjid.
Walaupun tidak ada rekod rasmi sejak bila tradisi itu bermula, berdasarkan cerita orang lama di Kuantan, kemeriahan berbuka itu dikatakan berlaku secara spontan sekitar 1990-an.
Ketika itu ramai pelajar dari kolej dan universiti berhampiran Kuantan berehat dan seterusnya berbuka puasa di situ selepas bersiar-siar atau membeli barangan keperluan mereka di bandar berkenaan.
Di sebalik kemeriahan tradisi itu, tidak ramai menyedari kehadiran bersahaja seorang lelaki yang memilih untuk berbakti dengan cara bersahaja namun sebenarnya signifikan.
Dia gigih mengagihkan tisu secara percuma kepada orang ramai yang berbuka.

Rosland Dol, 56, melakukan aktiviti itu sejak 2017 kerana yakin ia adalah sebahagian daripada perbuatan yang disukai Tuhan, sementelah semasa Ramadan.
Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Abang Lan Simple pada awalnya keberatan untuk berkongsi kisah mengenai apa yang dibuatnya, namun bersetuju selepas dimaklumkan kisah itu mungkin boleh memberi inspirasi kepada orang lain.
"Sedekah ini bukan hanya bermakna kita menyumbang wang semata-mata, mungkin melalui pemberian tisu kepada orang ramai juga boleh membantu mereka yang berbuka puasa di sini.
"Saya buat semua ini tanpa ada niat lain. Kalau orang tak tahu dan tak kenal saya pun tidak mengapa, sebab ini adalah antara kita dengan Allah," katanya ketika ditemui Malaysiakini.
Rasa sangat bersyukur
Ditanya mengenai bagaimana idea itu tercetus, pengasas kedai Nasi Lemak Simple Kuantan itu memberitahu ia berlaku secara spontan kira-kira lapan tahun lalu.
"Saya perasan ramai orang berbuka puasa di sini. Bab nak beli makanan dan minuman memang tidak menjadi masalah kerana di sebelah ada bazar Ramadan.
"Cuma saya perhatikan, apabila selesai menjamu selera, ramai orang yang tidak mempunyai tisu untuk mengelap tangan dan mulut masing-masing.
"Jadi, dari situ saya fikir kalau boleh bagi tisu untuk mereka ini, bagus juga... dan saya mula buat 'kerja' ini sampai sekarang," jelasnya.

Rosland bagaimanapun terpaksa berhenti daripada meneruskan aktiviti itu selama dua tahun iaitu ketika negara dilanda wabak Covid-19.
Selepas aktiviti berbuka di padang MPK1 kembali dibenarkan pada 2023, dia menyambung semula aktiviti itu sehinggalah sekarang.
"Isteri dan anak pun tidak ada masalah... mereka menyokong apa yang saya buat, cuma buat masa ini, mereka tidak menyertai saya mengagihkan tisu kepada orang ramai, tapi mereka sentiasa menemani setiap kali saya ke padang MPK1," katanya.
Bagi Muhammad Irfan Rusli, dia mengakui perasan kehadiran Rosland tiap kali berbuka puasa di situ.

Dia yang bekerja di Dungun, Terengganu, kerap berbuka di padang MPK1 kerana isterinya, Nur Najwa Syafiqah Roslan sedang melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Kuantan.
"Bagus sangat apa yang abang (Rosland) ini buat.
“Memang kadang-kadang kita terlupa nak bawa tisu kalau datang ke sini, jadi apabila ada insan berhati mulia mengagihkan tisu secara percuma, memang kami bersyukur sangat," katanya.

Seorang guru dari Kemaman, Terengganu, Mohd Istajim Subuh, berkata usaha dilakukan Rosland itu sangat bagus dan sesuai dengan keperluan serta keadaan di situ.
"Walaupun benda ini nampak kecil tapi bermanfaat kepada orang ramai... bagi kita mungkin tidak bermakna, tapi sangat bermakna pada orang lain," ujarnya.

Seorang lagi pengunjung, Norazuin Mohd Saruan pula beranggapan apa yang dilakukan Rosland sangat menyentuh hatinya.
"Walaupun dengan sekecil tisu sekalipun, kita dah boleh bersedekah. Di sini ada hamba Allah yang memberi kita tisu.
“Saya rasa sangat terharu walaupun dengan tisu yang harga berapa sen tapi dia menyumbang secara percuma kepada orang ramai di sini," katanya yang menetap di Kuantan, Pahang.
Ulasan
Catat Ulasan