Tragedi menjelang Syawal: Penduduk diusir keluar rumah

Tragedi menjelang Syawal: Penduduk diusir keluar rumah

Kampung Sungai Baru
March 23, 2025
Dr Azahar mengetuai solat hajat pertahan tanah Melayu, 'Selamatkan Kampung Sungai Baru' di pekarangan flat Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Para pemimpin dan aktivis masyarakat telah turun padang dan berhimpun bagi menyatakan solidariti terhadap isu penyingkiran penduduk Melayu dari Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.

Solidariti itu turut disertai pemimpin politik dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang bersama mengadakan solat hajat serta qunut nazilah sebagai usaha mempertahankan hak penduduk yang terkesan.

Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Dr Azahar Yaakub berkata, isu pemilikan tanah di kawasan itu bukan sekadar soal harta persendirian, tetapi melibatkan kepentingan umat Islam secara keseluruhan.

Beliau berkata, kehilangan tanah penduduk Melayu di Kuala Lumpur akan memberi kesan besar kepada kesinambungan warisan dan kedudukan masyarakat Melayu-Islam di Ibu Negara.

“Kehilangan tanah ini bukan sekadar Hifz Al-Mal (penjagaan harta), tetapi Hifz Al-Mal Al-Kabir (penjagaan harta besar). Jika tanah ini tergadai, ia akan menjejaskan keseluruhan Maqasid Syariah,” katanya di pekarangan flat Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh serta Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan (WP), Ustaz Azhar Yahya serta Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS WP, LAr Fauzi Abu Bakar dan Dr Rosni Adam.

Juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali serta Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Muhammad Rafique Rashid Ali.

Selain Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman DAN Naib Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Nik Muhammad Badrain Zamery serta artis yang juga wakil penduduk Kampung Sungai Baru, Rafidah Ibrahim.

Justeru, Azahar menggesa pihak berkuasa memberikan keadilan serta pembelaan sewajarnya kepada penduduk kampung warisan tersebut yang telah dihalau tanpa pampasan adil.

“Kami tidak mahu tragedi kehilangan tanah umat Islam di Palestin berulang di Malaysia. Jika pemaju dan pihak berkuasa terus bertindak zalim, tanah orang Melayu di bandar akan semakin terhakis,” katanya.

Sebelum itu, lebih 50 penduduk menunaikan solat hajat dan bermunajat agar Allah SWT memelihara tanah air dan kedaulatan Melayu-Islam di Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 23/3/2025

Ulasan