Turkiye tahan pesaing utama Erdogan atas pelbagai tuduhan


Turkiye tahan pesaing utama Erdogan atas pelbagai tuduhan
Oleh REUTERS - Mac 19, 2025 @ 5:16pm
Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu. - Foto AGENSI

ISTANBUL: Pihak berkuasa Turkiye hari ini menahan pesaing utama Presiden Tayyip Erdogan atas beberapa pertuduhan, termasuk rasuah dan membantu kumpulan pengganas dalam apa yang disebut oleh parti pembangkang utama sebagai 'cubaan rampasan kuasa terhadap presiden mereka pada masa akan datang'.

Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, dari Parti Republikan Rakyat (CHP) berdepan dua siasatan berasingan termasuk tuduhan mengetuai organisasi jenayah, rasuah dan penipuan tender.



Parti diterajui Imamoglu bersedia dalam tempoh tempoh beberapa hari ini untuk menamakannya sebagai pencabar kepada Erdogan yang memerintah Turkiye selama lebih dua dekad.

Datuk Bandar selama dua penggal itu dilihat secara meluas sebagai pesaing yang kompetitif dalam mana-mana tinjauan akan datang.

Dalam video yang dikongsi menerusi platform X, Imamoglu berkata, dia tidak akan berputus asa dan akan terus berdiri teguh walaupun dalam situasi penuh tekanan.

Menurut kenyataan pejabat pendakwa raya Istanbul berhubung siasatan pertama, seramai 100 orang termasuk wartawan dan ahli perniagaan disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah berkaitan tender tertentu yang diberikan oleh majlis perbandaran itu.

Siasatan kedua mendakwa Imamoglu dan enam yang lain membantu Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang disifatkan sebagai organisasi pengganas oleh Turkiye dan sekutu Baratnya.

Penahanan itu berlaku sehari selepas Universiti Istanbul membatalkan ijazah Imamoglu, yang jika dikekalkan akan menghalangnya daripada bertanding dalam pilihan raya presiden.

Undian seterusnya ditetapkan pada 2028 tetapi ia mesti dibuat lebih awal jika Erdogan mahu bertanding semula.

Pejabat gabenor Istanbul memutuskan untuk mengharamkan semua mesyuarat dan protes di bandar itu selama empat hari.

Ulasan