ULASAN | Melihat derita perang di Ukraine melalui Bucha



Berita
ULASAN | Melihat derita perang di Ukraine melalui Bucha

Diterbitkan: Mar 4, 2025 8:00 PM
Dikemaskini: 8:45 PM

ULASAN | Kedutaan Ukraine di Malaysia baru-baru ini menganjurkan tayangan filem eksklusif berjudul Bucha sebagai menandakan sudah tahun ketiga Russia melakukan pencerobohan tentera berskala penuh ke atas negara berkenaan.

Tayangan tersebut menjadi penghormatan dan memori ke atas mereka yang terkorban dalam peperangan yang dilabel berbentuk kezaliman.

Bucha juga menggambarkan betapa semangat ditunjukkan rakyat Ukraine bersatu melawan musuh dengan kekuatan menyeluruh tanpa mengenal erti kekalahan.

Pada 24 Feb lalu, genaplah tiga tahun sejak Russia melancarkan pencerobohan yang menjadi bahan kutukan masyarakat global susulan tragedi pembunuhan beramai-ramai itu.

Tempoh tiga tahun itu dianggap oleh rakyat Ukraine sebagai peperangan yang paling dahsyat tanpa sebarang sifat ihsan.

Pada hari filem itu ditayangkan, warga Ukraine - termasuk Malaysia - berkumpul di seluruh dunia untuk mengingatkan sesama sendiri apakah erti perjuangan mereka dalam menempuh peperangan berkenaan.

Ia juga bertujuan mengenang mereka yang terkorban dan pada masa sama tampil membantu menyelamatkan Ukraine yang mengharungi saat kegelapan ini.

Filem Bucha yang menyentuh perasaan penonton adalah berdasarkan cerita sebenar berlaku di Bucha, Vorzel dan Hostomel antara Feb sehingga Mac 2022.

Ia memaparkan kisah Konstantin Gudauskas, seorang warga Kazakhstan yang menggunakan pasportnya untuk menyelamatkan 200 nyawa orang awam yang melarikan diri dari wilayah ditawan Russia.

Dalam proses itu, lelaki berkenaan juga sempat menyaksikan segala penderitaan dan kesakitan dilalui rakyat di depan matanya.

Kuasa Usaha Interim Kedutaan Ukraine di Malaysia, Denys Mykhailiuk, amat menghargai kehadiran orang ramai serta penyokong yang berdiri teguh menegakkan perpaduan bersama Ukraine.
Denys Mykhailiuk

“Hari ini (24 Feb) genaplah 1,095 hari, 26,280 jam sejak Russia melakukan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine.

“Ini tempoh amat teruk untuk melalui satu peperangan tanpa ihsan sehingga mengorbankan ramai nyawa,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Majlis tayangan filem berkenaan dikatakan berjaya menghantar satu mesej penting kepada dunia bahawa mereka harus meneruskan sokongan padu kepada Ukraine dalam pergelutan demi mencapai keamanan, kebebasan dan keadilan.

Ia turut dihadiri oleh beberapa diplomat negara asing, wakil dari pihak berkuasa Malaysia, komuniti Ukraine dan penyokong negara dilanda peperangan itu.

Filem berkenaan bukan sahaja dengan matlamat untuk memperingati mangsa dalam peperangan yang masih berterusan tetapi juga untuk menggambarkan perjuangan Ukraine menjaga kedaulatan dan nilai demokratik global.

Mykhailiuk menambah, usaha Russia untuk melenyapkan Ukraine dari peta dunia serta menghancurkan identiti negara berkenaan dianggap sudah gagal.

Katanya, warga Ukraine dan penyokong mereka dari negara lain terus menunjukkan sikap berani berjuang - bukan hanya bagi survival rakyat tetapi untuk memastikan kebebasan dan kuasa autonomi milik mereka.

“Kami juga manusia. Kami ada maruah dan sifat pemurah dalam jiwa kami. Kami akan mengatasi rintangan ini demi cinta, persahabatan dan juga bagi masa depan bersama.

"Kami akan cekal mengatasi kezaliman ini tanpa sebarang rasa putus asa,” katanya.

Ulasan