
URA: Penduduk Melayu akan kurang di bandar
March 4, 2025
KUALA LUMPUR: Pembaharuan perlu dilakukan tetapi bukan dengan cara mengeluarkan orang Melayu dari bandar, demikian tegas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut beliau, apabila penduduk miskin dikeluarkan, pembaharuan dilakukan tentunya jenis yang mewah dan oramg miskin tidak akan mampu menyewa atau membeli flat dengan harga tinggi.
“Maka berkuranglah penduduk Melayu dalam bandar. Usaha Tun Razak untuk perbanyakkan orang Melayu dalam bandar akan terhapus. Bandar akan jadi tempat orang bukan-Melayu.
“Bandar-bandar lama di semua negara tetap memiliki kawasan yang buruk, dipenuhi setinggan dan orang yang miskin.
“Kuala Lumpur dan kebanyakan bandar di Malaysia juga begitu dan biasanya kawasan setinggan dan yang miskin sudah jadi buruk dan hodoh. Kawasan-kawasan ini perlu dibaharui.
“Di Kuala Lumpur penduduk kawasan-kawasan ini majoriti adalah orang Melayu. Untuk membaharui kawasan ini yang perlu keluar majoriti adalah Melayu,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Tun M turut mengambil contoh perancangan pembaharuan bandar di Singapura yang mana semua kampung-kampung Melayu di negara tersebut diambil alih dan dibangunkan pangsapuri mewah.
“Dalam perancangan pembaharuan ini Singapura diambil sebagai contoh. Apa yang dilakukan oleh Singapura ialah mengambil alih semua kampung-kampung Melayu dan membangunkan pangsapuri mewah.
“Penduduk kampung diagihkan di antara pangsapuri di tempat-tempat lain secara berkecamuk. Orang kampung Melayu tidak lagi hidup bersama. Mereka ditenggelamkan ke dalam perumahan yang majoriti bukan-Melayu. Dengan ini kuasa politik orang Melayu terjejas.
“Perkara yang sama akan berlaku jika contoh Singapura ini ditiru. Jumlah orang Melayu dalam bandar akan kurang dan pemisahan antara Melayu dan bukan-Melayu di negara ini akan jadi lebih luas.
“Dengan orang Melayu hidup terpencil di luar bandar, segala kemudahan bandar akan terus tidak dinikmati oleh mereka dan perpaduan kaum tidak akan berlaku,” katanya.
Kerajaan sebelum ini bercadang membentangkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang antara cadangan utamanya adalah menurunkan nilai ambang persetujuan pemilik hartanah sebelum sesuatu projek pembangunan dapat dimulakan.
Ketika ini, Akta Hakmilik Strata mewajibkan persetujuan sebulat suara daripada pemilik hartanah sebelum sesuatu pembangunan semula dijalankan.
Namun, menerusi cadangan baharu di bawah URA, kelulusan bagi pembangunan semula dijangka lebih mudah diperoleh, namun dibimbangi memberi kesan kepada pemilik asal tanah dan hartanah. – HARAKAHDAILY 4/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan