Wakil rakyat tak bersuara tanah orang Melayu diambil


Wakil rakyat tak bersuara tanah orang Melayu diambil
March 10, 2025

Mahathir (tengah) dalam sidang media bersama penduduk Kampung Sungai Baru, hari ini.

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas wakil rakyat pada hari ini yang dilihat tidak mengambil peduli masalah dihadapi penduduk Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur.

Tegasnya, wakil rakyat yang dipilih perlu mewakili suara penduduk di kawasan diwakili bagi menyelesaikan masalah dihadapi mereka, tetapi beliau menyifatkan mereka hanya mementingkan diri sendiri.

“Bukan mereka tidak tahu mengenai Kampung Sungai Baru, mereka tahu. Mereka tahu berkenaan dengan Tanah-tanah Rizab Melayu yang sudah dijual.

“Sepatutnya mereka jangan buat lagi undang-undang untuk ambil tanah orang-orang Melayu yang rata-ratanya miskin. Tetapi mereka tidak menyuarakan sepatah pun dalam Dewan Rakyat.

“Wakil rakyat siapa mereka ini? Mereka bukan wakil rakyat, mereka wakil diri mereka sahaja. Kita undi mereka sebab janji macam-macam. Dah jadi wakil rakyat, dapat gaji besar, seronok, tak peduli dah masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama penduduk Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.

Turut hadir aktivis politik, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan serta kira-kira 50 penduduk Kampung Sungai Baru antaranya ketua, Zainab Alias dan Rafidah Ibrahim.

Tambah Tun Mahathir, isu di Kampung Sungai Baru sudah disuarakan sejak sekian lama, namun, tiada suara yang cuba mempengaruhi kerajaan untuk mengambil berat masalah penduduk di kampung berkenaan.

“Saya tahu, biasanya kawasan-kawasan miskin ini semakin lama semakin usang, buruk dan perlu diperbaharui. Tetapi kalau nak perbaharui pun, janganlah dengan cara membuang penduduk-penduduk di kawasan ini, kononnya nak ambil contoh Singapura.

“Di Singapura dulu ada kampung Melayu, tetapi sekarang sudah tidak ada, dah hilang. Di mana pergi kampung Melayu di Singapura? Sudah diambil alih oleh pemaju-pemaju yang membangunkan rumah mewah, pencakar langit dan sebagainya.

“Dan orang-orang Melayu yang dulu duduk di perkampungan Melayu diagih-agihkan supaya mereka tidak boleh bersama dengan mereka. Jadi mereka sekarang ini tidak ada satu kumpulan, tidak ada pemimpin pun. Itulah yang akan berlaku di Malaysia,” – HARAKAHDAILY 10/3/2025

Ulasan