Wujudkan dua kategori label, halal dan tidak halal
Oleh Aznan Bakar
16 Mac 2025, 7:00 am
SEPANJANG Ramadan ini rata-rata premis makanan menawarkan pakej untuk berbuka puasa. Dari hotel ke restoran-restoran besar dan kecil termasuk restoran makanan segera yang pelbagai jenama. Dan ada yang asal-usulnya pun kita tidak tahu.
Lebih malang ada antaranya yang kita tidak pasti status halalnya, tetapi penuh dengan umat Islam yang menunggu untuk berbuka puasa.
Lagi teruk apabila ada restoran yang tidak halal turut sama mengambil kesempatan daripada permintaan tinggi di bulan Ramadan ini demi mengaut untung.
Sebab itu, sebelum ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahu mengkaji melaksanakan langkah pensijilan halal secara mandatori. Tetapi ia dibantah terutama oleh pemimpin DAP dengan hujah bahawa langkah Jakim itu akan membebankan perniagaan kecil, menyekat kebebasan pengguna, dan mungkin bertembung dengan kepelbagaian budaya Malaysia.
Apabila bercakap tentang budaya, sejak dari hari pertama negara ini merdeka, budaya yang pelbagai itulah yang menjadi pegangan rakyat negara ini.Sejak dari hari pertama negara kita merdeka juga, ketika pelbagai kaum lain turut diterima menjadi warga Tanah Melayu atas prinsip Jus Soli, orang Islam di negara ini sememangnya berpegang kepada prinsip halal.
Cuma pada zaman itu, industri makanan belum berkembang. Orang kita lebih banyak makan di rumah. Rangkaian restoran yang pelbagai termasuk restoran segera belum wujud. Maka isu halal ini sekadar dibincangkan dalam kelompok yang kecil.
Apabila negara semakin maju, masyarakat semakin moden budaya, agama dan cara hidup rakyat negara tetap sama dengan orang Islam tetap berpegang kepada prinsip halal dalam kehidupan seharian.
Pada masa yang sama, orang Islam yang merupakan majoriti penganut agama di negara tidak kisah rakan dari kaum dan agama lain menjual atau memakan makanan yang tidak halal.
Orang Islam memahami budaya dan cara hidup masyarakat negara ini yang majmuk. Cuma mereka akan menghindari tempat atau premis yang mempunyai makanan atau barangan tidak halal.
Makanya, rakan yang bukan Islam juga perlulah memahami budaya dan cara hidup orang Islam iaitu asasnya adalah halal. Dalam setiap apa yang dilakukan, digunakan, dimakan, dipakai dan sebagainya mesti halal.
Bagi yang tidak mahu ‘menghalalkan’ produk mereka usahlah dijual kepada orang Islam. Usahlah dimanipulasi dari segi nama, logo, cap tanda dan sebagainya seolah-olah ialah halal.
Dalam bulan Ramadan ini misalnya, premis yang tidak tidak diiktiraf halal, tidak perlu tawar pakej iftar.
Keperluan sijil halal hanya untuk produk yang disasarkan kepada orang Islam. Jika pasarannya bukan untuk orang Islam, maka tidak ada logo halal pun tidak ada masalah.
Sebab itu, selain mengkaji pensijilan halal secara mandatori Mungkin Jakim juga boleh memperkenalkan dua label, iaitu halal dan tidak halal. Mana yang mohon pensijilan halal dengan Jakim di label sebagai halal. Yang tidak mohon, automatik dilabelkan tidak halal. Mungkin ini lebih adil kepada semua tanpa perlu memaksa sesiapa mendapatkan sijil halal.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan