ADUN BN-PH tiada wibawa dalam perbahasan Sidang DUN Kelantan



ADUN BN-PH tiada wibawa dalam perbahasan Sidang DUN Kelantan

Sehingga perlu Pengerusi Umno Kelantan mempersoalkan ADUN Melor
April 24, 2025

SAYA merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Jazlan, Pengerusi Umno Kelantan, yang mempertikaikan perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor di Sidang Dewan Negeri kelmarin.

Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat Melor, menjadi tanggungjawab beliau untuk bersuara, menegur dan memberi pandangan terhadap dasar-dasar kerajaan negeri demi kebaikan rakyat.

Sidang Dewan Negeri bukan medan untuk sekadar mengangguk dan menyokong secara membuta tuli, tetapi ia adalah platform demokrasi untuk menyuarakan suara rakyat yang beliau wakili.

Perbahasan beliau berteraskan fakta, bersifat konstruktif dan selaras dengan peranan beliau sebagai ADUN yang cakna terhadap isu-isu semasa bagi memberikan ketegasan supaya pelaporan data perlu kepada niat yang betul, dengan cara yang betul.

Jika persoalan data dan statistik yang dikeluarkan secara berterusan menggambarkan Negeri Kelantan tidak selamat, penuh dengan penjenayah tidak boleh disoal dan dipertikaikan, maka apa erti demokrasi dan kebebasan bersuara beliau sebagai ADUN yang berkhidmat?

Wan Rohimi Wan Daud merupakan lulusan Sarjana Undang-undang (LLM) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan berpengalaman Peguambela dan Penguamcara Mahkamah Tinggi Malaya tentunya mahir berkaitan etika dan peraturan Sidang Dewan Negeri Kelantan.

Sayugianya saya mengajak Pengerusi Umno Kelantan supaya lebih fokus kepada usaha membina semula kepercayaan rakyat terhadap ‘UmDAP Mantap’ di Kelantan daripada mengalihkan perhatian dengan mempertikaikan suara wakil rakyat yang menjalankan amanah.

Sekian.

MUHD ADHA ABDULLAH
Ketua Pemuda PAS Kawasan Ketereh
Durian Pahit, Ketereh – HARAKAHDAILY 24/4/2025

Ulasan