Ayer Kuning: Pencapaian PN lebih membanggakan berbanding BN-PH


Ayer Kuning: Pencapaian PN lebih membanggakan berbanding BN-PH

28 April 2025 08:50am
Masa membaca: 2 minit

PORT DICKSON - Pencapaian Perikatan Nasional(PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning lebih membanggakan berbanding gabungan Barisan Nasional(BN) dan Pakatan Harapan(PH) yang gagal mencapai sasaran mereka.

Timbalan Presiden, Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN berjaya mengekalkan jumlah undi yang diterima pada pilihan raya lepas, manakala parti kerajaan pula tidak dapat mencapai 18,000 undi yang diuarkan-uarkannya.

"Saya bagi pihak PN berasa bangga kerana kita dapat mengekalkan jumlah pengundi yang kita terima dalam pilihan raya yang lepas.

"Kalau dibandingkan dengan mereka (BN-PH) yang sebelum ini menguar-uarkan bahawa akan mendapat lebih kurang 18,000 undi di antara gabungan UMNO dan DAP, tetapi akhirnya mereka tidak mencapai angka tersebut," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri dan Pelancaran Tabung Bersatu Port Dickson di sini pada malam Ahad.

Menurutnya, kegagalan BN-PH untuk memperoleh jumlah undi tersebut kerana orang ramai tidak lagi mahukan mereka, bukannya disebabkan faktor peratusan keluar mengundi yang rendah.

"Sebab itu saya katakan kita masih kekal dengan jumlah undi yang kita peroleh lepas.

"Ini membuktikan bahawa ramai pengundi tidak mahu akan gabungan UMNO dan PH, sama ada daripada penyokong DAP atau UMNO sendiri," katanya.

Tambahnya, sudah menjadi kebiasaan setiap kali PRK, calon-calon daripada kerajaan yang akan menang, tetapi ia berbeza dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Beliau turut menyindir kenyataan BN kemenangan berturut-turut diperoleh mereka dalam beberapa PRK sebagai bukti penerimaan rakyat terhadap gabungan itu.

"Baguslah mereka kata diterima. Tapi mengapa sebelum mengundi mereka kata tiada gabungan? Tapi hari ini bila dah menang kata ada gabungan.

"Itulah pemikiran orang yang berubah-ubah, sebelum mengundi cakap lain dan selepas mengundi cakap lain.

"Rakyat menilai semuanya, Insya-ALLAH akan terbukti dalam PRU akan datang," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam Shahruddin dari BN menang dalam pertembungan lima penjuru dengan memperoleh 9,088 undi.

PH diwakili Mohd Nazri Hashim memperoleh (6,875 undi), PN diwakili Farid mendapat (6,812 undi), Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air, (105 undi) dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia(PSM) (586 undi).

Pada PRK DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, dari BN diumum menang dengan 11,065 undi.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, itu menewaskan Abdul Muhaimin Malek yang memperolehi 6,059 undi, manakala calon PSM, Bawani KS mendapat 1,106 undi.

Ulasan