Bandar penampan perlu mandiri
Oleh Badrul Hafizan Bin Mat Isa
25 April 2025, 7:15 am
SARANAN supaya penumpuan diberikan kepada pengembangan pembangunan dan aktiviti ekonomi di kawasan luar Lembah Klang perlu disambut segera oleh kerajaan. Ia bukanlah idea baharu dalam hasrat mengurangkan tekanan kepada sistem kemudahan dan perkhidmatan asas ketika peningkatan populasi penduduk terus berlaku.
Perkara yang sama jugalah yang menyebabkan muncul konsep perancangan wilayah yang disebut sebagai Greater Klang Valley merangkumi kawasan metropolitan luas sekitar Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya, hampir keseluruhan Selangor malah kawasan utara Negeri Sembilan khususnya juga terkait dengan fungsi wilayah ini.
Dalam usaha mengimbangi pertumbuhan pesat berkenaan kawasan seperti Seremban, Nilai, Rawang, Semenyih dan Bangi muncul sebagai bandar penampan yang menyerap limpahan penduduk dari ibu kota, khususnya menerusi pembukaan kawasan kediaman baharu.
Bagaimanapun, timbul persoalan adakah bandar-bandar penampan ini berkesan dan mampu menyelesaikan isu kesesakan dan kepadatan penduduk di Lembah Klang yang dijangka menghampiri 10 juta orang menjelang tahun 2030.
Secara asasnya ia mampu mengurangkan tekanan yang dihadapi termasuklah dengan penawaran harga rumah lebih rendah dan suasana yang mungkin lebih tenang. Namun kemampuannya untuk benar-benar menyelesaikan masalah di Lembah Klang masih terbatas.
Adakah masalah klasik iaitu kesesakan lalu lintas di ibu negara berkurangan hasil pembukaan projek-projek perumahan kawasan terlibat khususnya jenis bertingkat yang dilihat bagai cendawan tumbuh selepas hujan? Melihat di hadapan mata sendiri, jawapannya sudah tentu tidak.
Puncanya kerana pembangunan yang berlaku adalah tidak seimbang, projek-projek perumahan dibina secara agresif tetapi kemudahan asas seperti pengangkutan awam, jalan raya, sekolah dan hospital pula tidak berkembang serentak.
Sebagai seorang yang lahir, membesar dan masih tinggal di Seremban, situasi itu jelas dilihat. Apa yang berlaku ketika ini di kawasan seperti Nilai dan Bandar Sri Sendayan yang rancak dengan projek komersial dan perumahan?
Penduduk di kawasan-kawasan ini berdepan masalah kekurangan sekolah serta kemudahan hospital awam sehingga timbul desakan supaya sebuah hospital dibina khususnya di Nilai bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
Ia belum mengambil kira beberapa kawasan terlibat yang belum mempunyai jaringan pengangkutan cekap, peluang pekerjaan yang terhad serta kekurangan kemudahan sosial lain menyebabkan penduduk memilih mencari keperluan itu di ibu kota.
Aktiviti berulang alik ke Lembah Klang itu berterusan akan meningkatkan tekanan terhadap sistem pengangkutan dan jalan raya. Kesesakan akan terus berlaku, jelas fungsi bandar-bandar penampan ini untuk menyelesaikan isu kepadatan di ibu kota tidak dapat direalisasikan sepenuhnya.
Jalan penyelesaian bukan sekadar membina kawasan perumahan baharu di luar Lembah Klang dengan harapan kesesakan akan berkurangan. Ia tidak cukup dengan konsep bekerja di Kuala Lumpur dan tinggal di Seremban. Ia memerlukan pembangunan yang dirancang secara holistik.
Kawasan-kawasan ini perlu menjadi sebuah bandar yang mandiri, mampu menawarkan peluang pendidikan, perkhidmatan kesihatan, sistem pengangkutan awam yang baik malah lebih penting menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduknya.
Hanya menerusi pendekatan ini, kawasan bandar penampan ini dapat memainkan peranan sebenar bagi mengurangkan kesesakan dan kepadatan di Lembah Klang dengan lebih berkesan. – UTUSAN
Badrul Hafizan Mat Isa ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan