Bela Palestin: RM2 juta disumbangkan Kelantan
April 11, 2025
Ahmad (kiri) dan Wan Roslan pada sidang media di Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan
KOTA BHARU: Keprihatinan rakyat Kelantan terhadap penderitaan rakyat Palestin terus dizahirkan apabila PAS Kelantan mengumumkan sejumlah RM2 juta telah
Setiausaha PAS Negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, kutipan tersebut disalurkan secara berterusan dan turut digunakan untuk menggerakkan Dapur Kelantan di Palestin bagi menyediakan makanan kepada penduduk yang terjejas.
“Tabung ini tidak pernah terhenti kerana kita simpati dan sentiasa bersama mereka. Kekejaman Israel terus berlaku sehingga Ramadan lalu, menyaksikan ramai yang terkorban akibat pelanggaran gencatan senjata,” katanya.
Kata beliau, PAS Kelantan masih mengumpul dana daripada orang ramai untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin.
Menurutnya, jumlah sumbangan dijangka bertambah memandangkan masih ada lagi sumbangan yang belum diserahkan dan jumlahnya tidak termasuk pungutan hari ini.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakub berkata, walaupun rakyat Malaysia menyambut Aidilfitri dalam suasana gembira, namun penderitaan rakyat Palestin tidak dilupa.
Katanya, kerana itu perjuangan untuk menyokong dan membantu serta mendoakan rakyat Palestin bagi membebaskan tanah air mereka dari Israel amat diperlukan daripada umat Islam seluruh dunia, termasuk Kelantan.
“Walau di mana kita berada, hati kecil kita tetap bersama saudara kita di Palestin yang ditindas rejim Zionis. Teruskan berdoa dan menyalurkan sumbangan agar mereka dapat kembali hidup aman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan yang diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini semalam.
Pada masa yang sama, beliau turut menyeru negara-negara Arab serta Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) agar memainkan peranan lebih aktif dalam membela nasib rakyat Palestin.
Tambahnya, membela serta melindungi umat Islam di Palestin adalah menjadi tanggungjawab dunia, apatah lagi negara-negara berjiran dengan Palestin.
“Zionis Israel semakin angkuh walaupun ditolak dunia. Negara-negara Arab terdekat perlu tampil membantu dalam bentuk apa sekalipun,” tegas beliau.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan program Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan menerima lebih 50,000 kehadiran daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Kita harap program ini dapat meraikan kemeriahan Aidilfitri serta memperkukuh perpaduan,” ujarnya.
Katanya, tema ‘Kelantan Model Perpaduan’ dipilih sebagai simbol keharmonian yang terjalin antara rakyat pelbagai kaum dan latar belakang di negeri ini.
Pelbagai juadah seperti mee kari, nasi dagang Kelantan, sate, lontong, mee goreng, kambing golek bakar, gulai kawah dan lain-lain turut disediakan.
Sebanyak 32 kios disediakan, menyajikan pelbagai menu termasuk lemang dan rendang, masing-masing dari PAS Kawasan seluruh Kelantan termasuk dari Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP).
Turut hadir pada majlis yang diadakan setahun sekali sempena Aidilfitri itu ialah pimpinan PAS peringkat negeri dan kawasan, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-Ahli Parlimen, wakil-wakil NGO, wakil-wakil kaum dari masyarakat Siam, Cina, India dan Orang Asli.
Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa serta wakil-wakil komponen parti PN peringkat negeri juga turut hadir pada majlis ini. – HARAKAHDAILY 11/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan