Berapa banyak kita belanja untuk rumah terbuka?



Berapa banyak kita belanja untuk rumah terbuka?
Oleh Aznan Bakar
27 April 2025, 7:00 am

SYAWAL yang semakin menuju ke penghujung ini membuatkan majoriti umat Islam di negara ini sibuk menggunakan baki masa ini untuk menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri. Sama ada individu, korporat, kerajaan mahupun agensi kerajaan, semuanya berebut-rebut menganjurkan rumah terbuka.

Setiap minggu sepanjang Syawal ini tidak ada satu hari pun yang berlalu tanpa ada jemputan rumah terbuka. Pada hari minggu, biasanya dianjurkan oleh syarikat korporat, pejabat dan agensi kerajaan serta kementerian. Pada hujung minggu pula, kesempatan digunakan untuk majlis-majlis persendirian.

Kalau dilihat kepada cara semua rumah terbuka ini dianjurkan, kita langsung tidak terasa bahawa negara kita kini berhadapan ancaman ekonomi ekoran dasar tarif Amerika Syarikat (AS) diumumkan Presiden Donald Trump. Bagi warga asing berada di negara ini termasuk pelancong, kesempatan mereka menghadiri rumah terbuka memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia hidup mewah, senang-lenang dan tiada isu kemelesetan ekonomi.

Tengoklah kepada jumlah makanan dihidangkan? Berapa banyak yang habis dimakan dan berapa banyak pula terpaksa dibuang?

Boleh dikatakan tempahan hotel di sekitar ibu negara semuanya penuh dengan majlis rumah terbuka. Sentiasa sibuk sepanjang Syawal ini, yang mana ia bagus untuk perniagaan mereka. Para menteri dan pemimpin politik juga sibuk memenuhi undangan. Adakalanya sampai tidak menang tangan.

Jamuan raya dan rumah terbuka ini bukan sahaja di peringkat kementerian, tetapi di semua agensi dan anak-anak syarikat mereka. Bayangkan kalau kementerian itu ada 50 agensi di bawahnya dan setiap agensi menganjurkan rumah terbuka, tentunya jenuh untuk bapa menteri menyusun jadual bagi memenuhi undangan.


Begitu juga dengan syarikat korporat. Selain satu majlis besar dianjurkan oleh ibu pejabat, akan menyusul lagi jamuan peringkat jabatan, cawangan dan sebagainya.

Ini menimbulkan tanda tanya sepanjang Syawal ini berapa banyak kita berbelanja untuk menganjurkan rumah terbuka. Contohnya, kementerian dengan 50 agensi di bawahnya dan setiap agensi menganjurkan majlis, agak-agak sampai atau tidak nilainya hingga jutaan ringgit?

Hal sama juga dengan individu. Sejak dari sebelum bulan puasa, kita sudah berbelanja untuk sambut Ramadan, kemudian sepanjang bulan mulia itu. Selepas itu, berbelanja untuk persiapan Hari Raya. Pada bulan Syawal belanja untuk rumah terbuka pula. Banyak duit yang rakyat belanjakan sepanjang musim perayaan ini.

Selain itu, kena juga kira kos produktiviti. Apabila ada majlis raya sudah tentu produktiviti tergendala seketika. Apa tergendala tentu ada kos yang boleh dicampur kepada perbelanjaan keseluruhan.

Hingga ada kawan berseloroh, berbanding Ramadan, Syawal ada bulan paling rendah produktiviti kerana masa perlu diluangkan oleh puluhan jemputan rumah terbuka selain di rumah dan pejabat. Selepas hadir rumah terbuka katanya, perut kenyang dan mood untuk kerja pun automatik merudum.

Inilah penangan Syawal. Diharapkan semua daripada kita berpada-pada. Elakkan pembaziran dan pastikan tidak berbelanja melebihi had, terutama agensi-agensi kerajaan kerana setiap sen dibelanjakan adalah hak rakyat.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Ulasan