Berjaya kurangkan kemasukan dadah ke Kelantan
Penutupan laluan haram
April 28, 2025
Mohd Yusoff (berbaju Melayu merah) menyambut ketibaan Nassuruddin
KOTA BHARU: Kadar kemasukan dadah ke Kelantan berjaya dikurangkan sehingga 60 peratus dalam tempoh suku pertama tahun ini berikutan langkah penutupan laluan haram di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand sejak Disember tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil pemantauan harian bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin, Cawangan Khas dan kerjasama tentera telah membawa kepada penurunan ketara penyeludupan bahan terlarang itu.
Katanya, sebelum ini kira-kira 400 hingga 500 orang dikesan menyeberangi sempadan secara haram setiap hari, namun jumlah itu kini kurang daripada 20 individu sehari.
“Kejayaan ini hasil penguatkuasaan ketat selepas pengisytiharan penutupan laluan haram di sempadan, selain kawalan di semua laluan tikus,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Mohd Yusoff berkata, penurunan mendadak kemasukan dadah bukan sahaja membantu mengurangkan masalah penagihan, sebaliknya turut memberi kesan positif kepada penurunan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda di Kelantan.
Menurutnya, walaupun jumlah kes jenayah narkotik bagi tempoh Januari hingga Mac 2025 meningkat sedikit sebanyak satu peratus berbanding tempoh sama 2024, namun jumlah tangkapan menurun dua peratus.
“Sebanyak 7,138 kes direkodkan pada suku pertama tahun ini berbanding 7,056 kes tahun lalu, manakala tangkapan suspek narkotik mencatatkan penurunan daripada 7,568 orang kepada 7,417 orang,” katanya.
Beliau seterusnya memberitahu, paling membanggakan apabila penurunan kemasukan dadah sebanyak 58 peratus itu menyebabkan rampasan dadah juga menurun, daripada RM5.28 juta pada tahun lalu kepada RM2.23 juta bagi tempoh sama tahun ini.
“Ini membuktikan usaha penutupan laluan haram sepanjang Sungai Golok yang berkuat kuasa 1 Disember tahun lalu sangat berkesan dalam membanteras penyeludupan dadah,” katanya.
Beliau turut berkata, kerana penutupan laluan haram itu juga, rakyat dari kedua-dua belah negara memasuki negeri Kelantan dan Selatan Thailand secara sah.
“Saya difahamkan borang khas seperti pas sempadan atau seumpamanya kehabisan kerana orang ramai tidak lagi menggunakan laluan haram untuk ke negara berkenaan dan begitu juga sebaliknya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 28/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan