Bersama PAS lebih bermaruah berbanding jadi ‘Buruh Kontrak’ BN

Bersama PAS lebih bermaruah berbanding jadi ‘Buruh Kontrak’ BN
April 28, 2025

Share
Presiden MIPP, SP Punithan

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), SP Punithan, menyifatkan kerjasama partinya dengan PAS dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) jauh lebih bermaruah berbanding pengalaman mereka ketika bersama Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno.

Menurutnya, MIC yang dahulu dianggap sekutu utama dalam BN kini hanya dilayan seperti “buruh kontrak”, membuktikan hubungan antara Umno dan parti-parti komponennya semakin merosot.

“Saya menghormati Puad (Zarkashi), namun kenyataan beliau bahawa PAS menjadi penghalang kemasukan parti bukan Melayu dalam PN adalah tafsiran yang jauh menyimpang daripada realiti politik hari ini. Ia lebih menggambarkan halusinasi politik Umno yang kini kian bersatu dengan DAP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Punithan menegaskan, pembentukan PN bukan sekadar mengikat kerjasama berdasarkan emosi, sebaliknya membina gabungan berteraskan prinsip, kepercayaan dan kesepakatan tulen antara parti pelbagai latar belakang.

“MIPP bukan sekadar pelengkap, tetapi rakan sejati dalam usaha mengukuhkan perpaduan nasional melalui PN bersama PAS dan rakan lain,” ujarnya.

Dalam nada sinis, beliau membandingkan hubungan PN yang kukuh dengan keretakan yang melanda Umno dan sekutu lamanya, khususnya MIC dan MCA, yang kini semakin tersisih.

Tambah beliau, Umno hari ini dilihat lebih mesra DAP, sebuah parti yang sering dituduh meminggirkan hak-hak Melayu-Islam dan juga memperlekehkan komuniti India.

Sebaliknya, kata Punithan, MIPP dan PAS secara bersama menangani isu-isu penting masyarakat India seperti pendidikan, pembangunan sosioekonomi dan pemeliharaan rumah ibadat secara lebih serius dan berterusan – bukan sekadar retorik pilihan raya.

Dalam perkembangan berkaitan, Punithan turut melontarkan kritikan pedas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkannya sekadar mempamerkan politik populis tanpa pelaksanaan dasar yang benar-benar membela rakyat, termasuk masyarakat India.

Beliau juga membidas kerajaan Pakatan Harapan-Umno kerana gagal menunaikan janji-janji kepada masyarakat India setelah memperoleh undi mereka dalam pilihan raya lalu.

“DAP yang kini menjadi tunjang kerajaan PH pun menunjukkan sikap hipokrit terhadap sekutu India mereka, membuktikan perjuangan untuk kaum minoriti itu hanya kosmetik semata-mata,” katanya.

Punithan menegaskan bahawa PN menawarkan satu jalan perubahan sebenar kepada rakyat Malaysia, berteraskan keikhlasan, prinsip dan usaha membina masa depan lebih adil untuk semua kaum.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, beliau yakin ia hanya permulaan kepada lonjakan lebih besar PN dalam memperjuangkan suara rakyat.

Akhirnya, beliau menyeru masyarakat India yang kecewa dengan kepimpinan sedia ada supaya menyertai perjuangan PN dan MIPP demi sebuah Malaysia yang lebih bersatu dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 28/4/2025

Ulasan