BN menderita di Kedah, PH pula dipinggir di Johor
April 22, 2025
KUALA LUMPUR: Hubungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Kedah dikhabarkan tidak begitu kukuh akibat isu jawatan Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) yang masih belum selesai.
Penolong Setiausaha Agong PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, isu ini telah lama dibincangkan secara dalaman tetapi ia sudah tidak dapat dibendung lagi apabila beberapa pimpinan Umno (BN) Kedah membuat kenyataan secara terbuka melalui media.
“Memandangkan BN dan PH adalah Pembangkang di Kedah, maka jawatan ini adalah sangat penting untuk kedua-dua pihak di negeri Jelapang Padi itu, lebih-lebih lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) telah berlalu menghampiri dua tahun.
“Ditambah lagi derita BN apabila mereka kalah kesemua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU atau PRN yang lalu.
“Maka sudah tentulah BN mengharapkan agar mereka mempunyai posisi penting untuk mengembalikan kekuatan kepada parti mereka di sana,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.
Khairul Faizi turut membandingkan keadaan di Johor bahawa hubungan BN-PH tidak ‘semesra’ seperti di Kerajaan Pusat apabila isu kedudukan ADUN PH yang menang tidak berada di dalam blok posisi kerajaan masih lagi belum diselesaikan.
“Kerajaan di Johor masih berada di bawah BN tanpa ada Exco Kerajaan Negeri yang dilantik daripada PH walaupun hasrat PH tersebut telah disuarakan sebelum ini.
“Sebab itu, ramai yang masih keliru sama ada ADUN PH adalah ADUN Kerajaan atau ADUN Pengimbang (Pembangkang) di DUN Johor,” katanya.
Beliau berkata, isu di Kedah hanyalah kerana menuntut satu jawatan sahaja iaitu jawatan Timbalan Pengerusi MTPN sedangkan di Johor ia melibatkan keseluruhan kerajaan negeri.
“Ini membayangkan PH lebih tersakiti di Johor berbanding dengan BN di Kedah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan