
Bolehkah Ayer Kuning berubah warna?
22 April 2025 08:00am
Masa membaca: 3 minit
Kempen PRK DUN Ayer Kuning memasuki fasa penentu apabila minggu pertama hampir melabuhkan tirai.
KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memasuki fasa penentu apabila minggu pertama hampir melabuhkan tirai. Minggu kedua bakal menjadi medan pecutan akhir tiga calon yang kini giat meraih sokongan pengundi.
Dr Mohamad Yusri Bakir mewakili Barisan Nasional (BN), Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) tanpa jemu turun padang saban hari, menyantuni rakyat di segenap pelosok Ayer Kuning sejak hari penamaan calon lagi.
Dari sudut jentera kempen, kerjasama dalam kalangan parti-parti kerajaan Perpaduan dianggotai BN dan Pakatan Harapan (PH) tampak serasi dan tersusun.
Sekalipun di Dewan Rakyat, DAP dan MCA sering dilihat bertikam lidah, namun di Ayer Kuning, mereka sepakat meyakinkan penyokong masing-masing, terutamanya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Coldstream yang mempunyai 1,720 pengundi untuk mengundi calon nombor 1.
Parti Amanah Negara (Amanah) pula lebih agresif, membawa pelbagai isu termasuk laporan polis membabitkan tauliah mengajar agama calon PN, Abd Muhaimin. Gerak kerja ini memberi ruang kepada calon BN memberi fokus kepada kempen akar umbi tanpa terlalu terganggu dengan serangan pihak lawan.
Menariknya, sokongan penyokong PH terhadap pencalonan Mohamad Yusri yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah juga menunjukkan gabungan ini masih kukuh.
Namun begitu, BN tidak boleh terlalu selesa. Potensi sabotaj dalaman oleh kelompok yang kurang senang dengan pencalonan beliau masih perlu dipantau.
Di kem PN pula, Pas kelihatan beraksi secara solo apabila isu-isu yang dibangkitkan hanya dijawab oleh pimpinan Pas, manakala pemimpin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sangat kurang kelihatan bersama dalam setiap sidang media.
Kenyataan-kenyataan media juga disusun dengan amat berhati-hati, mungkin bimbang dijadikan peluru oleh lawan malah ceramah-ceramah mereka juga hanya disampaikan oleh pemimpin tertentu sahaja.
Dalam suasana begini, isu penggantungan Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria daripada menghadiri sidang DUN selama enam bulan mungkin akan digunakan PN sebagai naratif ketidakadilan untuk meraih simpati pengundi.
Dalam kalangan ketiga-tiga calon, Bawani tampil paling tenang. Dilihat sebagai ‘underdog’, beliau menumpukan sepenuh perhatian kepada isu-isu setempat seperti tanah adat Orang Asli dan penerokaan hutan simpan.
Beliau juga menjadi calon pertama mengemukakan manifesto ditambah pengalaman bertanding dalam dua Pilihan Raya Umum sebelum ini mungkin menjadikan beliau lebih mesra dan tidak kekok di sisi rakyat.
Melihat suasana minggu pertama yang masih perlahan, Ayer Kuning masih kekal dengan warna biru tua berlogo dacing meskipun cuba digoncang biru PN dan percikan merah penumbuk PSM.
Minggu terakhir ini bakal menjadi medan sebenar penentu untuk menguji sejauh mana calon berjaya menawan hati pengundi dan sama ada isu yang dibawa mampu mengubah arus sokongan.
Di atas kertas, laluan PN dan PSM untuk merampas kerusi ini memerlukan keajaiban kerana BN masih memiliki kelebihan, terutama dengan dokongan padu daripada PH namun, kejutan sentiasa ada dalam politik.
PN dan PSM mungkin sukar untuk menang, tetapi mereka mampu mencalarkan prestasi kerajaan Perpaduan dengan kurangkan majoriti BN sekaligus menimbulkan persoalan sejauh mana rakyat menerima gabungan BN-PH ini.
Pengundi muda dalam lingkungan 18 hingga 40 tahun seramai 15,278 di DUN Ayer Kuning ini bakal menjadi penentu sejauh mana hasrat Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk calon BN memperoleh undi melebihi 18,000.
Seperti yang diutarakan oleh Pensyarah Program Pengajian Polisi, Universiti Malaysia Terengganu, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim dalam Wacana Sinar Harian baru-baru ini, jika kerajaan Perpaduan gagal menang dengan majoriti lebih besar berbanding PRU15, akan wujud suasana rumah siap pahat berbunyi dalam kalangan ahli serta penyokong parti masing-sama sama ada perlu kekal sehingga PRU16 atau sebaliknya.
Namun, jika majoriti itu berjaya digandakan, PRK Ayer Kuning akan menjadi petunjuk awal bahawa kerjasama BN-PH mampu bertahan sehingga PRU ke-16 atau mungkin lebih jauh daripada itu.
* Saifullah Ahmad ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Perak
Ulasan
Catat Ulasan