
Calon BN penjawat awam yang pegang jawatan politik?
April 11, 2025
TAPAH: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek diminta untuk menjelaskan mengenai kedudukan kakitangan yang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam keterlibatan dengan politik kepartian.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mengajukan perkara tersebut berikutan profil calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang merupakan penjawat awam.
Menurut beliau, berdasarkan profil disiarkan seorang pemimpin Umno di Facebook, calon tersebut dahulu adalah seorang guru dan juga di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam kumpulan profesional, tetapi memegang jawatan parti.
“Disiarkan di dalam Facebook pemimpin Umno sendiri iaitu Datuk Ahmad Maslan bahawa beliau (calon itu) juga memegang jawatan sebagai Setiausaha Umno Bahagian Tapah bermula tahun 2020 hingga sekarang.
“Maka sebelum itu lagi memegang pelbagai jawatan politik. Jadi persoalannya bolehkah seorang penjawat awam seperti beliau memegang jawatan di dalam parti politik sehingga sebagai seorang Setiausaha Umno Bahagian?” soalnya.
“Jadi kalaulah itu dibenarkan, maknanya ramai lagilah yang boleh pegang jawatan dan kalau ia tidak dibenarkan, adakah beliau telah melakukan kesalahan? Jadi kalau beliau telah melakukan kesalahan saya rasa pengundi-pengundi di Ayer Kuning boleh buat satu
pertimbangan awal.
“(Iaitu) Bolehkah kita pilih seorang yang telahpun melanggar arahan pentadbiran ketika memegang jawatan sebagai seorang penjawat awam? Adakah beliau boleh diberikan peluang sebagai wakil rakyat?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Peraturan larangan berkaitan
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dalam pekeliling pada 6 April 2009 telah mengeluarkan ‘Larangan Penglibatan Dalam Politik Ke Atas Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional’.
“Di bawah Peraturan 21 (I), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai awam dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah dilarang daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.
“Secara khususnya pegawai dalam kategori tersebut tidak boleh membuat apa-apa pernyataan awam, sama ada secara lisan atau bertulis, yang memberikan suatu pandangan yang berat sebelah atas apa-apa perkara yang menjadi isu antara parti politik.
“Menerbitkan atau mengedar buku, makalah atau risalah yang mengemukakan pandangannya yang berat sebelah atau pandangan orang lain, tentang apa-apa perkara berkaitan dengan mana-mana parti politik.
“Terlibat dalam merayu undi bagi menyokong mana-mana calon pada suatu pilihan raya kecil, atau apa-apa pilihan raya untuk apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik. Bertindak sebagai agen pilihan raya atau agen tempat mengundi.
“Masuk bertanding untuk apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik; atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik,” ujarnya dalam pekeliling itu.
Sehubungan dengan peraturan yang dinyatakan di atas, Kerajaan memandang serius penglibatan pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam aktiviti politik.
Jelasnya, penglibatan pegawai tersebut dalam aktiviti politik adalah bertentangan dengan prinsip ‘neutrality’ dan ‘impartiality’ yang diamalkan dalam perkhidmatan awam di mana keadaan ini juga boleh membawa suasana tidak harmoni di tempat kerja.
Kata beliau, sekiranya terdapat mana-mana pegawai yang mengingkari arahan ini, tindakan tatatertib hendaklah dikenakan ke atas mereka berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Rekod keterlibatan calon BN
Mengikut dokumen profil diri calon BN, beliau telah memulakan perkhidmatan awam sejak tahun 1992 sebagai guru, kemudian pensyarah di sebuah Institusi Pendidikan Guru (IPG) tahun 2007 sebelum menjadi Ketua Jabatan di kampus sama bermula tahun lalu.
Beliau juga direkodkan sudah memegang jawatan di dalam politik kepartian sejak tahun 2013 dan sejak tahun 2020 hingga sekarang dinyatakan jawatannya sebagai Setiausaha Umno Bahagian Tapah iaitu setelah pekeliling larangan tersebut dikeluarkan. – HARAKAHDAILY 11/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan