Cawangan tak kurang, ahli tak hilang, kenapa tak menang?


Cawangan tak kurang, ahli tak hilang, kenapa tak menang?
Oleh AZNAN BAKAR
6 April 2025, 8:55 am

SEORANG pemimpin parti politik di sebuah negeri baru-baru ini melahirkan keyakinan bahawa kedudukan partinya masih kukuh walaupun tidak menang sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu. Hujahnya berdasarkan jumlah cawangan parti berkenaan di negeri tersebut yang langsung tidak berkurangan.

Ini memberi gambaran, walaupun tewas teruk di negeri berkenaan tanpa sebarang kerusi sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, tetapi ia tidak memberi kesan kepada mereka di akar umbi kerana tidak ada cawangan yang dibubarkan malah mesyuarat agung berjalan seperti biasa.

Inilah keajaiban yang dapat kita lihat dalam politik. Walaupun sesebuah parti itu mempunyai cawangan paling banyak dan ahli teramai tetapi mereka tewas kepada lawan yang langsung tidak ada cawangan.

Ibarat kalau dalam perlawanan bola sepak, satu stadium itu penuh dengan penyokong kita, tetapi pasukan yang kita sokong bukan sahaja tewas tetapi kena belasah teruk.
Inilah yang dikatakan menang sorak kampung tergadai atau pun harapkan penyokong tetapi penyokong bawa rebah.

Tetapi apapun mesti ada sebab musababnya. Mesti ada punca dan pokok pangkalnya yang perlu dikenal pasti dan diatasi. Sekurang-kurangnya jika tidak boleh jadi kerajaan pun, ada juga dua tiga kerusi untuk jadi pembangkang.

Ini bukan setakat tidak mampu jadi kerajaan, tetapi untuk jadi pembangkang pun tidak layak kerana langsung tidak ada wakil. Ibarat menanam padi, walaupun padi tidak menjadi sekurang-kurangnya masih ada setangkai dua untuk dibuat benih. Ini untuk dibuat benih pun tidak ada yang tinggal.

Persoalannya, bagaimana rakyat mahu menilai parti tersebut pada pilihan raya umum yang akan datang? Untuk membolehkan rakyat menilai sesebuah parti politik, kewujudan mereka mesti boleh dirasai. Iaitu sama ada mereka menjadi kerajaan atau pun pembangkang.Tetapi sekiranya mereka tidak ada di kedua-dua posisi itu di mana lagi relevansi kehadiran mereka di negeri berkenaan?

Jika kalah, tetapi masih ada beberapa kerusi untuk menjadi pembangkang sedikit-sebanyak akan memberi ruang kepada rakyat untuk menilai kewujudan parti mereka. Ia juga akan membolehkan pengundi membuat perbandingan antara kerajaan dan pembangkang, pemimpin mana lebih berkualiti.

Lagi pula kalau lihat dalam sejarah negara kita, rasanya belum ada mana-mana parti utama yang langsung tidak ada wakil di DUN mahupun Parlimen. Yang bertanding dan tidak pernah menang ini hanya parti-parti kecil atau calon bebas.

Macam mana teruk sekali pun keputusan pilihan raya, parti-parti utama tetap akan mempunyai wakil dalam DUN di negeri mereka yang tandingi. Begitu juga di Parlimen. Tidak pernah kena kosong.

Makanya, bagaimana hendak kita katakan parti yang sudah tidak ada wakil sama ada sebagai kerajaan mahupun pembangkang masih relevan untuk sesuatu kawasan? Kita bukannya bercakap tentang parti kecil atau picisan. Tetapi sebuah parti besar dengan puluhan ribu cawangan dan jutaan ahli.

Hakikatnya, tidak ada apa yang boleh dibanggakan oleh sesebuah parti politik jika mereka tidak menang satu kerusi pun dalam pilihan raya.

Sejarah dunia telah membuktikan bahawa pemimpin yang asyik berbangga-bangga dengan kekuatan akhirnya tewas kepada lawan yang lebih bijak menyusun strategi. Banyak bukan bermakna kuat jika tidak ada persefahaman dan perpaduan.

Dalam kes parti politik ini, cawangannya tidak berkurangan, ahlinya tidak hilang, tetapi kenapa tidak boleh menang? Kalau diikutkan percaturan atas kertas, dengan cawangan dan ahli sebanyak itu mustahil mereka tidak boleh menang, sekurang-kurang satu kerusi. Perlu diingat dengan keadaan sukar sekarang rakyat menjadi semakin kritikal dalam memilih wakil mereka sama ada sebagai kerajaan mahupun pembangkang.

Pada tahun lalu misalnya, rakyat di lebih 60 negara telah keluar mengundi untuk memilih kerajaan. Dan hasilnya, 2024 menjadi tahun yang cukup sukar bagi penyandang dan parti politik tradisional. Rakyat yang dihimpit dengan pelbagai tekanan hidup akibat ketidaktentuan ekonomi telah menghantar mesej kekecewaan melalui kertas undi.

Antaranya di Afrika Selatan, Kongres Kebangsaan Afrika gagal memenangi majoriti kerusi Dewan Negara buat kali pertama sejak berakhirnya apartheid. Sedangkan mereka adalah tonggak yang membebaskan negara itu daripada rejim kulit putih yang menindas.

Parti Liberal Demokratik Jepun – yang telah mentadbir negara itu untuk kebanyakan era pasca Perang Dunia II – dan rakan gabungannya, Komeito, kehilangan majoriti mereka di parlimen.
Ada banyak lagi parti politik yang pernah berkuasa satu ketika dahulu lenyap dari muka bumi kerana telah ditolak oleh rakyat.

Di negara kita pun ada beberapa parti menerima nasib yang sama. Dulu gah menerajui pilihan raya, kini sudah tiada. Sementara parti yang besar pula hilang kekuatan, berpecah-pecah hingga mewujudkan parti serpihan yang menjadi ancaman kepada kewujudan mereka.

Jika dilihat kepada sejarah, kepupusan sesebuah parti di sesebuah negeri bukan sesuatu yang mustahil. Jika tidak pupus tetapi sekadar hidup segan mati tidak mahu pun tidak ada gunanya juga.
Dalam keadaan sukar ini siapa yang akan menjadi pilihan rakyat ketika pilihan raya? Sudah tentu parti yang dirasakan dekat dengan mereka.

Sebab itu, jangan dibanggakan dengan jumlah ahli yang ramai dan cawangan yang bersepah-sepah, tetapi akhirnya apabila tiba pilihan raya satu kerusi pun tidak mampu dimenangi. Maknanya apa? Ahli yang ramai, cawangan yang banyak itulah yang menolak parti mereka sendiri. Sebabnya, hanya pemimpin terbabit sahaja yang tahu.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Ulasan