Cuaca makin panas tetapi kita hanya mampu mengeluh
Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
30 April 2025, 7:10 am
KEBELAKANGAN ini ramai yang mengeluh dengan cuaca panas. Memang lain macam panasnya terutama pada waktu tengah hari dan ada tempat sudah mencecah 41 darjah Celsius.
Namun dalam cuaca panas terik itu berlaku juga hujan lebat serta angin ribut hingga menyebabkan banjir kilat, fenomena yang dulunya jarang berlaku.
Bagi Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor, pensyarah di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), cuaca panas dan kadar kelembapan yang tinggi ketika ini berlaku kesan daripada pemanasan global yang berlaku di seluruh dunia dan isu berkenaan memang sepatutnya dipandang serius.
Bagi tempoh dari tahun 1991 hingga 2020 katanya, laporan iklim tempatan menunjukkan bilangan hari panas melebihi 33 darjah Celsius meningkat sebanyak 20 peratus manakala kelembapan pula kekal tinggi.
Keadaan itu jika berterusan dan kadar panasnya semakin meningkat, ia boleh memberi kesan terhadap kesihatan seperti strok haba.
Walaupun saintis telah memberi pandangan mereka tentang pemanasan global dan kesan-kesannya kepada kehidupan manusia, apa yang telah dilakukan untuk menangani perkara itu?
Betul, memang ada persidangan dan pelbagai jawatankuasa ditubuhkan mengenai cuaca dan pemanasan global di seluruh dunia tetapi apakah keputusannya dihayati dan dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab.
Ketika kempen dan program kesedaran orang ramai terhadap kelestarian alam sekitar dan pemanasan global rancak dijalankan, sepatutnya agensi yang berkaitan juga melaksanakan tanggungjawab mereka selaras dengan semangat persidangan dan mesyuarat mengenai iklim itu.
Merekalah yang bertanggungjawab terhadap pembangunan di kawasan diamanahkan dan apa yang berlaku terhadap persekitarannya. Mereka jugalah yang diberi kuasa untuk bertindak terhadap pihak yang mencemari alam sekitar.
Jika tidak ada tindakan daripada pihak berkuasa, maka berlakulah pencemaran sungai, wujud tapak sampah haram, hutan digondolkan, bukit ditarah dengan rakus, asap kilang yang beracun dilepaskan ke udara sesuka hati dan pelupusan sisa industri dilakukan tanpa mengikut sistem.
Perkara itu memang berlaku, contohnya di Sungai Kim Kim di Johor dan Sungai Telok Gong di Selangor dan banyak lagi seperti dilaporkan oleh media.
Masalah itu semua menyumbang kepada pemanasan global. Pelakunya bukan orang biasa-biasa tetapi pemilik industri yang sesetengahnya bertaraf bilionair dan juga cerdik pandai.
Tetapi kerana wang dan tamak, pemilik industri sengaja melakukan segala jenayah alam sekitar itu dan pihak berkuasa pula seperti tidak menyedarinya. Mereka seolah-olah tidak berkongsi kebimbangan yang sama terhadap isu pemanasan global.
Sebab itulah dunia semakin panas dan cuaca bertambah ekstrem.
Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan