Dr Sam seorang… yang bimbang itu empat orang!


Dr Sam seorang… yang bimbang itu empat orang!
April 12, 2025

TAK SAMPAI 24 jam—satu kenyataan daripada Dr. Sam, terus gegar seluruh negara.

Bukan sebarang gegar, bukan biasa-biasa. Gegaran ini sampai buat Perdana Menteri (PM), Timbalan Perdana Menteri (TPM), Menteri Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Polis Negara (KPN) pun rasa perlu bangun dari kerusi ‘jawatan’ dan jawab. Serentak. Laju. Bertubi-tubi.

Empat orang pimpinan tertinggi negara, keluar kenyataan macam main ‘tag team’ lawan sorang. Siapa yang mereka lawan?

Dr. Sam. Seorang tokoh negeri. Seorang MB yang tak reti tunduk.

PM kata, “Saya pun kena TCO.”

KDN kata, “Tak perlu intip atau ikut pergerakan.”

TPM kata, “Semua ni drama nak raih simpati PRK Ayer Kuning.”

KPN pula, “Kita ikut SOP.”

Sekali baca, okay. Dua kali baca, pelik. Tiga kali baca, ramai rakyat makin bingung.

PM kata beliau pun kena TCO. Maknanya, semua pemantauan, kawalan keluar masuk sempadan, pemintasan telefon, semua itu… biasa katanya.

Tapi Menteri KDN pula kata tak perlu intip. Tiada keperluan ikut-ikut pergerakan.

Jadi mana satu betul? Ada TCO atau tak? Ada pengawasan atau sekadar hiasan?

Kemudian TPM muncul pula dengan ayat power: “Ini semua drama.” Hebat. Bila tiada hujah, tukar jadi skrip teater. Kononnya nak tarik simpati Ayer Kuning.

Tapi netizen tak duduk diam. Rakyat cari balik ‘drama’ lama TPM. Elok je mereka dedahkan balik babak-babak lama.

Dan belum sempat isu reda, KPN pun masuk gelanggang.

Bayangkan: dalam tempoh beberapa jam, empat kenyataan dari empat individu paling kanan dalam kerajaan keluar, semua untuk jawab seorang manusia bernama Dr. Sam.

Ini bukan calang-calang nama. Ini bukan sembarangan orang.

Seorang lawan empat. Tapi yang berpeluh, yang kelam-kabut — mereka.

Yang tenang? Dr. Sam. Siap sempat keluar mesra rakyat, senyum di pentas awam.

Kemudian, pagi ini datang pula skrip baru.

“Dr. Sam mohon maaf kepada PM, KDN dan KPN.”

Hah? Maaf? Bila masa? Siapa yang hadir? Mana bukti? Cerita ni macam tiba-tiba muncul dari lubang misteri. Tak ada kenyataan rasmi, tak ada sidang media. Tapi tiba-tiba tersebar.

Skrip makin pelik. Watak makin rancak. Tapi yang jadi mangsa fitnah — tetap Dr. Sam.

Dan inilah soalnya:

Apa sangat yang Dr. Sam buat sampai kena tembak bertubi-tubi macam ni? Sampai 4 penjuru kuasa negara rasa tergugat?

Satu kenyataan, dibalas dengan 4 peluru media.

Dan pagi ini, tambah satu lagi — peluru fitnah.

Ini bukan kelemahan Dr. Sam. Ini bukti kekuatan beliau. Bila seorang boleh buat 4 orang paling berkuasa di Malaysia ‘gelabah’ dalam masa satu hari… itu bukan calang-calang manusia. Itu pejuang.

DR FAISAL
Putrajaya – HARAKAHDAILY 12/4/2025

Ulasan