Ekonomi mungkin terjejas – Anwar


Ekonomi mungkin terjejas – Anwar
Anwar Ibrahim beramah mesra serta bersalaman dengan orang ramai semasa menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam. – Pejabat Perdana Menteri
Oleh AMRAN MULUP
6 April 2025, 6:30 am

MELAKA: Kerajaan tidak menolak kemungkinan pertumbuhan ekonomi negara akan terjejas ekoran tindakan Amerika Syarikat (AS) menaikkan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus ke atas import dari Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil tindakan sepatutnya bagi mengurangkan tekanan ke atas ekonomi negara, susulan keputusan dibuat oleh Presiden AS, Donald Trump.

Katanya, Mesyuarat Khas Kabinet mengenai perkara itu yang diadakan kelmarin telah mengenal pasti beberapa tindakan yang boleh diambil bagi meredakan atau mengurangkan tekanan terhadap Malaysia.

“Kita tidak boleh nafikan bahawa mungkin ada sedikit sebanyak terjejasnya pertumbuhan ekonomi yang kita telah rancang memandangkan pertumbuhan ekonomi kita semakin baik.

“Walaupun kalau tanya pembangkang kita ini paling parah, Ringgit kita ini kita paling parah, memang tak betul ekonomi ini bukan celoteh politik di kampung, ekonomi ini berdasarkan angka dan fakta.

“Kalau dilihat merosotnya bursa saham seluruh dunia semalam termasuk Malaysia tetapi merosot Malaysia itu kecil berbanding Jepun, Korea, Indonesia, Thailand dan Filipina,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, semalam.

Kelmarin, media melaporkan Malaysia akan me­ngetuai negara-negara ASEAN bagi merundingkan pengurangan tarif.

Tegas Anwar, kerajaan tidak berpeluk tubuh dalam usaha mengurangkan tekanan ke atas pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, Malaysia akan berunding dengan beberapa negara berkepentingan lain seperti Jepun, Korea dan China.-UTUSAN

Ulasan