Insiden Putra Height: PETRONAS yang dipaksa tanggung?


Insiden Putra Height: PETRONAS yang dipaksa tanggung?
April 10, 2025


KUALA LUMPUR: Insiden letupan dan kebakaran di Putra Heights baru-baru ini bukan sahaja memberi kesan kepada penduduk setempat, malah turut mengundang risiko kerugian besar kepada syarikat petroleum negara, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).

Penganalisis politik, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff menyelar kenyataan segelintir penyokong kerajaan yang mengatakan bahawa insiden tersebut tidak memberi kesan langsung kepada PETRONAS.

“Macam ini, PETRONAS ini adalah sumber pendapatan utama negara kita. Kalau dia terkesan, negara kita akan terkesan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Nurul Islam berkata, PETRONAS menyumbang hampir lapan peratus atau RM32 bilion daripada keseluruhan pendapatan negara, maka sebarang kerugian yang dialaminya akan memberi impak kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

Menurut laporan MIDF Research yang disiarkan oleh The Edge, PETRONAS dijangka mengalami kerugian sekitar RM18 juta hingga RM25 juta melibatkan kehilangan hasil, kos baik pulih dan pampasan.

Namun, jumlah tersebut hanyalah anggaran awal dan dijangka meningkat selepas penilaian penuh dibuat.

“Kita belum tahu berapa banyak lagi kerugian tambahan kalau kerajaan cuba lepas tangan dan ‘taici’ semuanya atas bahu PETRONAS. Kalau itu berlaku, mereka mungkin terpaksa tuntut insurans liabiliti awam,” katanya.

Selain itu, beliau membangkitkan persoalan sekiranya pihak insurans enggan membayar memandangkan insiden itu bukan berpunca daripada kecuaian PETRONAS.

Sebaliknya ia disebabkan oleh kegagalan Kerajaan Selangor melalui pihak berkuasa tempatan dalam mengawal dan meluluskan permit kerja korekan kepada syarikat yang sudah pun berada dalam tindakan tatatertib oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Kalau syarikat insurans tolak tuntutan, siapa nak tanggung semua kos? Apa nasib mangsa? Apa nasib PETRONAS?” katanya yang juga Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat.

Beliau turut menjelaskan bahawa gangguan bekalan gas akibat insiden ini telah menjejaskan operasi industri, termasuk syarikat gergasi seperti Panasonic di Shah Alam yang menjangkakan kejatuhan pendapatan sebanyak tiga peratus.

Menurut Persekutuan Pengilang-pengikang Malaysia (FMM), lebih 200 kilang turut terkesan ekoran insiden berkenaan.

Nurul Islam turut mempersoalkan potensi tindakan undang-undang oleh kilang-kilang yang terjejas ke atas PETRONAS sekiranya insiden itu tidak diklasifikasikan sebagai bencana alam, sebaliknya berpunca daripada kecuaian kerajaan negeri.

“Mana pergi pemilik projek? Kontraktor? Sub-kontraktor? Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MPSJ) yang luluskan permit korekan kepada syarikat yang sedang disiasat oleh CIDB?” katanya.

Justeru, beliau menyeru Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari untuk tampil memberi penjelasan yang bertanggungjawab atas kelemahan pentadbiran negeri dalam isu itu. – HARAKAHDAILY 10/4/2025

Ulasan