Isu ladang babi: Exco Perak telah ‘kantoi’ berbohong?


Isu ladang babi: Exco Perak telah ‘kantoi’ berbohong?
April 24, 2025

TAPAH: Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, Exco Kerajaan Negeri Perak terus berbohong berhubung isu ladang babi di negeri itu.

Beliau berkata, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kelmarin, Exco terbabit menyatakan tiada ladang babi haram di negeri berkenaan, namun dakwaan itu disifatkan sebagai tidak benar.

“Hari ini saya nak dedahkan satu lagi penipuan oleh Exco Perak. Semalam masa dia jawab isu babi, dia ada sebut pasal syarikat yang telah mengubah kepada sistem Modern Pig Farming (MPF).

“Salah sebuah syarikat yang disebut oleh dia adalah Yikar Rubber Estate & Farming Sdn Bhd (No. Pendaftaran 197103008277 / 000246732-W). Dia siap sebut, ‘progress’ Yikar Rubber Estate untuk tukar kepada ‘fully closed’ MPF adalah 38 peratus setakat hari ini.

“Apa yang pelik, syarikat ini apabila saya buat semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), status terkininya adalah ‘expired’. Jadi persoalan saya, bagaimana sebuah syarikat yang telah ditutup mempunyai status pertukaran ke MPF sebanyak 38 peratus?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan data berkaitan ladang babi yang dikemukakan kerajaan negeri, apabila angka ladang dikatakan berubah daripada 30 kepada 20 dalam tempoh singkat, selain kemajuan MPF dikaitkan dengan syarikat yang sudah tamat pendaftaran.

“Data pasal ladang babi kamu ini betul-betul caca-marba. Apa benda kamu buat? Macam ini ke rakyat nak percaya kamu kawal selia ladang babi?” katanya.

Nurul Islam turut membangkitkan tindakan Menteri Besar dan Exco Pertanian yang dikatakan tidak berani menjawab isu berkenaan, sebaliknya menyerahkan kepada Exco DAP yang memegang portfolio Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Orang India.

“Banyak sangat ‘tahi babi’ dalam cerita ladang babi ini,” sinisnya.

Beliau turut mengulas kenyataan Exco berkenaan yang memaklumkan jarak ladang babi itu adalah sejauh 2.57 kilometer dari Masjid Kampung Tanjung Keramat.

“Daripada awal-awal dedahkan isu ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional dah sebut ‘ladang babi terletak tiga minit daripada masjid terdekat’. Hang tak faham kah?

“Dia boleh pula berhujah ladang babi itu jauh lebih 200 meter dari masjid. Kamu tengok akal dia,” katanya.

Katanya, penduduk kampung sudah lama membuat aduan mengenai bau busuk yang berpunca daripada ladang berkenaan, malah 98.8 peratus penduduk kampung itu adalah berbangsa Melayu.

“Apa keperluan ladang babi di kampung orang Melayu? Kenapa Kerajaan Perak luluskan lesen kepada ladang itu? Itu persoalannya,” katanya.

Tambah beliau, walaupun kerajaan menafikan dakwaan yang dibangkitkan, namun yang akan mengundi pada 26 haribulan nanti adalah mereka yang telah lama bergelumang dengan pencemaran bau dan sungai akibat pelepasan najis babi.

“Kamu agak-agak mereka akan undi BN?” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2025

Ulasan