Isu sebenar adalah babi, bukan haji - Pemuda PAS


Berita
Isu sebenar adalah babi, bukan haji - Pemuda PAS

Diterbitkan: Apr 22, 2025 4:47 PM
Dikemaskini: 5:06 PM

PRK AYER KUNING | Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata sejumlah pihak memainkan kenyataan Abdul Hadi Awang berkenaan menangguhkan haji kerana ingin mengalih perhatian masyarakat daripada isu sebenar dalam PRK Ayer Kuning.

Menurut Afnan, isu sebenar bagi PRK itu adalah berkenaan ladang babi di sana.

Dia berkata isu menangguhkan ibadah haji demi mengundi tidak timbul memandangkan penerbangan pertama haji pada tahun ini adalah pada 29 April ini, iaitu tiga hari selepas hari mengundi.

“Tiga hari selepas mengundi, selamatlah berangkat pergi haji. Tiada apa-apa isu pun.

“Sebenarnya depa hanya nak alih isu babi sahaja. Depa gagal jawab isu itu.

“Isu sebenar adalah babi, bukan haji,” katanya di Facebook.

Dalam satu program ceramah PN sebelum ini, Hadi yang merupakan presiden PAS mengulangi rungutan sebelum ini bahawa umat Islam di negara ini lebih cenderung menunaikan ibadah haji dan umrah berbanding berusaha untuk menguasai pentadbiran negara.

“Utamakan kemenangan politik. Nabi nak tunaikan haji pun...nabi mendahulukan kemenangan politik daripada tunaikan haji dan umrah.

"(Ia) boleh ditangguh, kemenangan politik tidak boleh ditangguh," katanya.

Kenyataan itu mendapat bantahan sejumlah pihak, antaranya bekas pemimpin PAS Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyifatkannya boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam, serta Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan yang berpandangan ia satu bentuk penyalahgunaan fakta sejarah Islam.

Afnan membangkitkan perhatian yang diberikan kepada kenyataan Hadi tersebut, walaupun bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Abdul Hadi datang ceramah sekali sahaja, habis gegak gempita seluruh alam buana, kutuk maki Abdul Hadi. Habis keluar fatwa sesat dan macam-macam (lagi).

“Masa Almarhum Nik Aziz cakap benda sama pada 2012 dulu, mereka ada di mana?” soalnya lagi.

Ulasan