Isu tanah UMNO: Dr Mahathir tuntut Puad mohon maaf secara terbuka

Isu tanah UMNO: Dr Mahathir tuntut Puad mohon maaf secara terbuka

17 April 2025 10:56pm
Masa membaca: 2 minit

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung kenyataannya yang mendesak Dr Mahathir memulangkan aset parti.

Menurut peguam Dr Mahathir, Rafique Rashid Ali, satu notis tuntutan telah dikeluarkan susulan kenyataan Mohd Puad pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, tindakan Mohd Puad memadamkan penulisan atau penerbitan tersebut tanpa sebarang permohonan maaf kepada bekas Ahli Parlimen Langkawi tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan.

“Dr Mahathir menuntut Mohd Puad mengadakan sidang media terbuka di Bangunan UMNO dan membuat pengakuan bahawa kenyataan fitnah tersebut adalah kesilapannya.

“Dalam sidang media itu, Mohd Puad hendaklah menyatakan bahawa kenyataan yang menuduh Dr Mahathir sebagai seorang yang pecah amanah adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Rabu, Dr Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO menjelaskan bahawa beliau telah melepaskan tanggungjawab sebagai pemegang amanah terhadap sebidang tanah seluas 9,723 meter persegi di Kuala Lumpur kepada parti itu pada tahun 2015.

Jelas beliau, saman pemula yang difailkan UMNO untuk mendapatkan perisytiharan mahkamah bagi memindahkan hak milik tanah tersebut tidak melibatkan dirinya.

Rafique memaklumkan pihaknya turut menuntut Mohd Puad membuat permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat, termasuk aku janji bahawa beliau atau ejennya atau mana-mana pihak berkaitan tidak akan mengeluarkan kenyataan lanjut yang menjejaskan reputasi dan integriti bekas Perdana Menteri itu.

Katanya, permohonan maaf dan aku janji tersebut hendaklah dibuat dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh notis tuntutan, tertakluk kepada kepuasan dan/atau persetujuan anak guamnya.

“Dr Mahathir merizabkan haknya untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara ini sekiranya difikirkan sesuai dan perlu, termasuk terhadap pihak-pihak lain,” jelas Rafique lagi.

Baru-baru ini, UMNO memfailkan saman pemula bagi mendapatkan perisytiharan supaya sebidang tanah di ibu negara seluas 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti politik tersebut.

Saman itu difailkan oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan selaku plaintif menerusi firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Mac lalu, dengan menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan.

Dalam saman itu, UMNO memohon satu perintah supaya pemilikan geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur, yang kini didaftarkan atas nama pemegang-pemegang amanah iaitu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Dr Mahathir dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid, dipindahkan kepada UMNO mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan UMNO dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.

Ulasan