Isu ternakan khinzir di Ayer Kuning bukan soal kaum, agama


Isu ternakan khinzir di Ayer Kuning bukan soal kaum, agama
April 27, 2025

Datuk Idris Ahmad (tengah) bersama Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kanan) ketika sidang media di Lukut, Port Dickson

PORT DICKSON: PAS menegaskan isu ladang ternakan khinzir di Ayer Kuning yang dibangkitkan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu adalah berkaitan alam sekitar dan kesihatan, bukan isu perkauman atau keagamaan seperti didakwa sesetengah pihak.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata beliau sendiri turun ke kawasan ladang ternakan khinzir dan mendapati apa yang dibangkitkan oleh penduduk adalah realiti sebenar.

Beliau berkata, di Unit Daerah Mengundi (UDM) Tanjung Keramat, Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi undi, menunjukkan penduduk membantah isu tersebut sejak lama dahulu, termasuk mengadakan demonstrasi sebelum ini.

“Mereka meluahkan bantahan dalam kertas undi dan kita menang di UDM tersebut. Maknanya apa yang kita bangkitkan adalah betul, bukan ‘fake’ (palsu). Kita ambil air dan hantar ke makmal, terbukti tidak melepasi piawaian. Ini luahan sebenar pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran PAS Pusat di Dewan The Grand, Lukut di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata PN tidak menganggap isu itu berkaitan agama atau kaum, sebaliknya ia adalah isu alam sekitar dan kesihatan melibatkan semua rakyat, termasuk bukan Islam dan bukan Melayu.

“Kami dapati bantahan turut datang daripada penduduk bukan Melayu yang kami temui dan temuramah. Ini isu kesihatan, bukan perkauman. Kalau berlaku di tempat lain, semua orang akan terjejas,” katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, pula berkata isu itu melibatkan pelanggaran jelas terhadap SOP, dan beliau kesal dengan kenyataan menteri dan Menteri Besar yang disifatkan tidak bertanggungjawab.

“Kita buat ujian di dua makmal untuk dibandingkan, dan kedua-duanya mengesahkan perkara sama. Ini bukan isu main-main, malah telah digariskan oleh Jabatan Veterinar sendiri,” katanya.

Idris berkata, beliau melihat pihak lawan begitu defensif terhadap isu itu, termasuk mengadakan ‘podcast’ bersama dua orang individu untuk menjawab isu, namun jawapan mereka tetap dapat dijawab pihak PN.

“Portal dalam Umno Perak juga memfitnah kononnya zaman Peja (Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu) luluskan 103 lesen, tetapi kini sudah dipadam, walaupun kami sempat ‘printscreen’,” katanya.

Menurut Idris, selain isu ternakan khinzir, PN turut membawa isu berkaitan paip air di Taman Bunga Raya yang melibatkan pelanggaran tanah Lembaga Air Perak sehingga 50,000 pemegang akaun terganggu hampir tiga minggu.

“Ini bukan soal babi sahaja. Kita bangkitkan semua isu kepentingan rakyat. Kita minta YB (yang menang kini) perjuangkan isu ini kerana sekarang nak bebankan kepada Lembaga Air Perak, sedangkan syarikat pembinaan itu masih beroperasi,” katanya.

Mengulas sama ada isu babi menjadi punca kekalahan, Tuan Ibrahim berkata, keputusan undi menunjukkan kesannya, terutamanya di UDM Tanjung Keramat.

“Kalau dia komen sebelum keputusan keluar, lainlah. Tapi selepas keputusan keluar, komen dia berbeza. Ini isu tempatan dalam konteks UDM tersebut. Namun bagi kita, ini soal pematuhan SOP, pencemaran alam sekitar, yang melangkaui agama dan bangsa,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, fenomena itu bukan sahaja berlaku di Ayer Kuning, tetapi di Sungai Bakap dan Sungai Kereh sebelum ini, membabitkan isu pencemaran serta masalah air yang melibatkan semua kaum.

“Contohnya, khinzir dibawa keluar waktu pagi ketika orang ramai hantar anak ke sekolah. Semua kaum tak suka perkara begini. Isu ini besar sebab melibatkan alam sekitar,” katanya.

Tambah beliau, di kawasan ternakan khinzir itu sendiri, PN berjaya menang di peti undi berkenaan, membuktikan isu itu mendapat sokongan penduduk tempatan.

“Isu ini mungkin bersifat domestik di kawasan yang merasainya secara langsung. Kita bukan hanya bangkitkan isu khinzir, tetapi juga isu lain,” katanya.

Idris berkata, terdapat syarat yang perlu dipatuhi oleh penternak kandang khinzir, antaranya jarak antara penempatan dengan kandang.

“Berdasarkan syarat, jarak ladang daripada penempatan mesti 200 meter. Tetapi kita ukur hanya 140 meter sahaja. Kita ada bukti, bukan cakap kosong,” katanya.

Beliau berkata, sampel air yang diambil juga dihantar ke makmal untuk dianalisis dengan kos RM1,200 yang ditanggung sendiri oleh petugas PN.

“Kita bayar sendiri, hutang pun belum selesai. Ini membuktikan kesungguhan kita membangkitkan isu rakyat,” katanya.

Idris berkata, berdasarkan SOP, jarak antara penempatan dengan ladang ternakan mestilah 200 meter, manakala kandang pula perlu mempunyai sifar pelepasan sisa.

Katanya, bacaan Keperluan Oksigen Kimia (BOD) yang sepatutnya tidak melebihi 50 mg/L, namun hasil ujian makmal mendapati berlaku pelepasan dengan bacaan 78 mg/L di kawasan berkenaan.. – HARAKAHDAILY 27/4/2025

Ulasan