Jangan tunggu sampai terlambat



Jangan tunggu sampai terlambat
April 27, 2025

ADUN Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin

KUALA TERENGGANU: “Sejarah sudah ajar kita satu benda, perlembagaan itu kertas. Kuasa politik itu realiti,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin.

Beliau membidas sikap sesetengah pihak yang terlalu yakin bahawa Perlembagaan mampu melindungi hak orang Melayu dan Islam jika kuasa politik jatuh ke tangan musuh.

Menurutnya, terlalu ramai yang hidup dalam mimpi bahawa tulisan di atas kertas mampu mempertahankan agama dan bangsa, sedangkan sejarah membuktikan sebaliknya.

“Singapura dulu ada “jaminan” untuk Melayu dalam Artikel 152. Hari ini masjid dikawal kerajaan. Madrasah ditekan ikut silibus sekular. Bahasa Melayu hanya jadi hiasan.

“Melayu dalam tentera, polis, sektor kerajaan? Jarang-jarang nampak naik pangkat. Semua ini berlaku tanpa perlu pinda satu huruf pun dalam perlembagaan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kedudukan Islam dan hak Melayu Bumiputera kekal terpelihara walaupun DAP mempunyai majoriti kerusi di Parlimen.

Namun, Fakhruddin berkata, jika DAP dan sekutu berjaya mendapatkan majoriti dua pertiga di parlimen, rakyat mesti bersedia melihat kerusi Melayu dihancurkan melalui perubahan sempadan kawasan pilihan raya.

“Kerusi Melayu dikecilkan, gerrymandering, ubah peta pilihan raya, buat Melayu jadi minoriti dalam banyak kawasan. Nak menang pilihan raya? Sayonara..

“Seterusnya, jawatan penting diambil alih Ketua Hakim, Ketua Polis, Panglima Tentera, pilih orang yang taat bukan kepada Islam dan Melayu, tapi kepada agenda mereka. Buat dasar secara senyap-senyap, tak perlu tanya rakyat.

“Bajet Islam dipotong. Tak perlu haramkan masjid, cukup potong bajet. Kurang duit, kurang program Islam, kurang dakwah. Agama jadi suam-suam kuku. Sekolah agama ditekan. Madrasah akan dipaksa jadi “moden”, silibus dikawal, identiti Islam perlahan-lahan dilenyapkan. Anak cucu kita akan belajar Islam yang “tak boleh sentuh politik, tak boleh bercakap tentang maruah ummah.”

“Nak tahu lebih pedih? Semua ini berlaku di Singapura, walaupun “jaminan” untuk Melayu ada atas kertas! Kita kat Malaysia nak ulang sejarah itu?“ soalnya.

Beliau menyeru umat Islam agar segera sedar sebelum segalanya terlambat.

“Jangan sampai satu hari nanti anak kita tanya, “Ayah, kenapa kita tak ada kuasa lagi?” “Mak, kenapa sekolah agama kena tutup? Bangunlah! Kuasa di tangan kita hari ini, bukan untuk tidur lena. Tapi untuk pertahan agama, bangsa dan maruah!

“Bukan soal politik siapa menang, ini soal masa depan kita semua!,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/4/2025

Ulasan