Jangan ulangi senario Melayu ‘disingkir’ dari bandar


Jangan ulangi senario Melayu ‘disingkir’ dari bandar
April 23, 2025

Dato’ Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR: Tindakan mengambil khidmat perundingan ‘Housing Development Board Singapore’ (HDB) bagi menjayakan pembaharuan semula bandar dikhuatiri akan mengguna pakai konsep pemilikan perumahan dari negara itu sebagai agenda migrasi penempatan warga asing dalam pemilikan hartanah.

Mantan Exco Perumahan Negeri Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, hartanah yang dijual dengan harga bebas dan di luar kemampuan orang Melayu seterusnya akan meminggirkan rakyat tempatan yang miskin khususnya orang Melayu yang tinggal di kawasan bandar.

“Apabila kita lihat perkembangan di Singapura dalam pembaharuan semula bandar, kesannya amat buruk sekali bagi orang Melayu. Di mana sebelum merdeka, Singapura ada kerusi-kerusi (parlimen) di mana orang Melayu adalah majoriti.

“Tetapi apabila dipecah-pecahkan, apabila berlaku pembangunan semula, tidak ada kerusi yang majoriti orang Melayu. Walaupun kita tahu ada orang Melayu yang sudah menjadi ahli parlimen, sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

“Sebab itu lah kita berasa bimbang setelah melihat apa yang terjadi di Singapura, bimbang akan juga berlaku di Malaysia. Ada tempat-tempat yang asalnya majoriti orang Melayu, tetapi akhirnya orang Melayu akhirnya tidak lagi menjadi majoriti,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim; Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya; Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, LAr Fauzi Abu Bakar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria.

Selain Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa; Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman; Pengerusi Sekretariat NGO Selangor, Datuk Nazilah Idris dan wakil NGO Al-Banna, Aireroshairi Roslan.

Beliau dalam pada itu menepis dakwaan sesetengah NGO yang mengatakan pihaknya sering menghentam dan bantah ‘membabi buta’ sahaja dalam isu berkenaan.

“Sebenarnya tidak, kami telah mengadakan satu sidang meja bulat yang begitu terperinci dan menghasilkan resolusi, kita juga ada buat roadshow dan macam-macam lagi. Maknanya kita bukan hentam sahaja, kita bukan kritik dan bangkang sahaja.

“Tetapi kita ada cadangan-cadangan balas. Jadi saya berharap selepas ini kalau dengar bahawa kita hanya membangkang sahaja, tidak benar. Sebab kita ada cadangan balas,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2025

Ulasan