‘Jika tiada tebusan pun Israel tetap serang Palestin’


‘Jika tiada tebusan pun Israel tetap serang Palestin’
PENDUDUK Palestin membawa barangan mereka ketika berpindah ke tempat lain susulan arahan pemindahan yang dikeluarkan oleh Israel di Gaza City. – AFP
Oleh .WARTAWAN LUAR NEGARA
14 April 2025, 7:50 am

GAZA CITY: Israel merancang memperluaskan operasi ketenteraan di Semenanjung Gaza selepas merampas kawasan baharu di wilayah itu.

Susulan rancangan itu, tentera Zionis mengarahkan puluhan ribu penduduk di Khan Younis serta kawasan sekitar di selatan Gaza supaya berpindah dan melancarkan beberapa serangan.

“Tidak lama lagi, tentera Israel akan melancarkan lebih banyak operasi ketenteraan di kebanyakan tempat di Gaza dan anda perlu segera berpindah dari zon perang.

“Tentera Israel ketika ini sudah pun menguasai koridor Morag yang merangkumi Gaza, Rafah dan Khan Younis, sekali gus menjadikan kesemua kawasan antara Laluan Philadelphi (di sepanjang

sempadan Mesir) dan Morag sebagai zon keselamatan Israel.

“Ini adalah masa untuk hapuskan Hamas dan membebaskan kesemua tebusan. Hanya ini caranya untuk tamatkan semua ini,” kata Menteri Pertahanan Israel Katz dalam notis arahan kepada penduduk Gaza.

Katz juga memberitahu, tentera Israel turut menguasai beberapa kawasan di utara Gaza dan zon keselamatan sudah diperluaskan, termasuk di Koridor Netzarim.

Pengumuman Katz itu dibuat selepas pegawai Hamas memberitahu AFP bahawa mereka menjangkakan gencatan senjata dapat dilaksanakan tidak lama lagi menjelang rundingan dengan Mesir di Kaherah.

VIDEO TEBUSAN

Sejak rundingan gencatan senjata kekal terkandas pertengahan bulan lalu, Israel terus menekan Hamas dengan melancarkan lebih banyak serangan sehingga menyebabkan puluhan ribu penduduk Gaza Kembali kehilangan tempat tinggal.

Zionis pula sehingga kini masih dengan alasan lapuk iaitu mahu terus menyerang Hamas bagi mendesak kumpulan pejuang itu membebaskan 58 baki tebusan.

Walhal, jika tiada tebusan pun, tentera negara haram itu tetap menyerang rakyat Palestin tanpa belas ihsan.

Hamas menyatakan serangan Israel bukan hanya meragut banyak nyawa tidak bersalah, malah nasib tebusan yang ditahan juga menjadi tidak menentu.

Kelmarin, Hamas mengeluarkan satu video menunjukkan tebusan Amerika-Israel, Edan Alexander mengkritik kerajaan Israel kerana gagal menyelamatkannya.

Di Tel Aviv, ratusan penduduk Yahudi berkumpul bagi merayakan festival Passover dan menggesa kerajaan segera menyelamatkan tebusan.

HANYA KERANA EMPAT ROKET

Arahan pemindahan penduduk di Khan Younis dikeluarkan selepas Israel memintas empat roket yang didakwa dilancarkan oleh Hamas dengan tiga daripadanya dari selatan Gaza.

“Israel akan melancarkan serangan dari semua arah iaitu dari mana sahaja roket Hamas dilancarkan,” menurut hantaran ketenteraan Zionis dalam platform X.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin memberi amaran arahan pemindahan besar-besaran hanya akan menyebabkan semakin ramai penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan bersesak di satu kawasan yang semakin terhad.

ZIONIS SIBUK BERPERANG, HAMAS MAHU GENCATAN SENJATA

Dalam pada itu, Hamas memaklumkan delegasinya sudah berlepas ke Mesir bagi menghadiri rundingan gencatan senjata dengan Mesir dan Qatar dan berharap ia membawa perkembangan positif dalam menamatkan perang yang berlaku.

Seorang pegawai Hamas yang enggan mendedahkan identiti memberitahu, kumpulan pejuang itu masih belum menerima sebarang usul gencatan senjata walaupun media Israel melaporkan negara haram itu dan Mesir sudah pun bertukar draf mengenai potensi gencatan senjata serta pembebasan tebusan.

“Kami komited untuk melaksanakan gencatan senjata penuh, pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza dan menamatkan semua penderitaan penduduk kami.

“Permintaan kami ini akan dilakukan oleh mana-mana negara di dunia yang mahukan keamanan dan kestabilan untuk penduduknya,” kata pegawai itu.

GENCATAN SENJATA ANTARA 40 HINGGA 70 HARI

The Times of Israel sebelum ini melaporkan, usul Mesir mungkin melibatkan pembebasan lapan tebusan yang masih hidup dan lapan mayat sebagai pertukaran gencatan senjata yang lebih lama iaitu antara 40 hingga 70 hari.

Sejak Israel melancarkan semula serangan, lebih 1,500 penduduk Gaza terbunuh, selain sekatan bantuan kemanusiaan dilakukan secara besar-besaran.

PBB menyifatkan serangan tentera Israel hanya menyasarkan ‘golongan wanita dan kanak-kanak’.

Sehingga kini, se­ku­rang-kurangnya 50,933 rakyat Palestin di Gaza maut akibat perang yang tercetus sejak Oktober 2023. – AFP

Ulasan