Kedah tangani isu RIBI secara berhemah


Kedah tangani isu RIBI secara berhemah
April 23, 2025

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah mengambil pendekatan yang lebih harmoni dan berhemah dalam menangani isu-isu berkaitan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) terutama yang sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan NGO, Wong Chia Zhen berkata, pendekatan itu dilaksanakan tanpa mengambil tindakan keras sebaliknya menawarkan ruang rundingan dan penyelesaian secara baik serta teratur.

“Pihak saya sentiasa terbuka serta bersedia menjadi pemudah cara dalam menyelesaikan isu ini, khususnya antara pihak persatuan penganut dan pemilik tanah.

“Pihak saya juga secara konsisten mengadakan mesyuarat serta memainkan peranan aktif dalam mendengar dan memudah cara proses perbincangan agar jalan tengah dapat dicapai,” kata beliau semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, semalam.

Jelas Chia Zhen lagi, peranan ini digalas dengan penuh tanggungjawab sebagai defender of the law and defender of the people, iaitu mempertahankan undang-undang sedia ada, selain memastikan kebajikan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama terus terpelihara.

Dalam masa yang sama katanya. kerajaan negeri juga memberi penekanan kepada pembinaan RIBI baharu yang perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan serta peraturan yang telah ditetapkan.

Hal tersebut ujarnya, adalah bagi menjamin keseimbangan antara pembangunan fizikal dan keharmonian sosial di negeri ini.

“Pada Mesyuarat Jawatankuasa RIBI yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali, 13 April lalu, kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak lima permohonan tapak tanah untuk pembinaan RIBI, di daerah Kuala Muda.

“Usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyantuni keperluan masyarakat majmuk tanpa mengetepikan aspek perundangan, perancangan, dan keharmonian antara agama,” jelas ADUN Kulim itu lagi.

Sementara, berkenaan elaun kepada Ketua Sami Wat Siam yang dibangkitkan oleh Bau Wong Ek (PH-Sidam), tegasnya, kebajikan kepada masyarakat Siam di negeri ini tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan negeri.

Sebaliknya, kata beliau, pelbagai usaha telah dan akan dilaksanakan bagi memastikan komuniti itu sentiasa mendapat perhatian sewajarnya dalam aspek pendidikan, ekonomi, kebajikan dan pembangunan komuniti.

“Antaranya, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Ketua Sami Siam Negeri Kedah dan Perlis berhubung isu pemberian elaun kepada ketua sami.

“Perkara ini akan dipertimbangkan dan diteliti. Manakala perkembangan lanjut akan dimaklumkan kelak,” kata beliau lagi.

Di Kedah katanya, terdapat 45 buah wat Siam yang berdaftar di seluruh negeri. – HARAKAHDAILY 23/4/2025

Ulasan