
Kemelesetan ekonomi global diramal berlaku 60 peratus pada tahun ini
KESEMUA tiga indeks saham utama AS merudum lebih lima peratus dengan Indeks S&P 500 jatuh hampir enam peratus, menjadikannya sebagai minggu terburuk bagi pasaran saham AS. – AFP
Oleh .WARTAWAN LUAR NEGARA
6 April 2025, 7:30 am
WASHINGTON: Kemelesetan pasaran saham dunia terus memuncak selepas China ‘membalas’ tindakan Amerika Syarikat (AS) dengan mengenakan tarif tambahan 34 peratus terhadap semua produk yang diimport dari negara itu bermula 10 April ini.
Situasi itu dikhuatiri akan mencetuskan perang perdagangan jangka panjang, sekali gus menjejaskan ekonomi global.
Kesemua tiga indeks saham utama AS merudum lebih lima peratus dengan Indeks S&P 500 jatuh hampir enam peratus, menjadikannya sebagai minggu terburuk bagi pasaran saham AS sejak 2020 iaitu ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.
Di United Kingdom (UK), FTSE 100 menjunam hampir lima peratus, iaitu kejatuhan paling teruk dalam tempoh lima tahun, manakala pasaran saham Asia dan Eropah juga terkena tempias.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini menolak kebimbangan mengenai kejutan pasaran saham dunia dengan menyatakan pasaran buruh AS adalah kukuh.
RUGI BESAR
Pasaran saham global sudah pun merekodkan kerugian yang besar sejak Trump mengumumkan tarif 10 peratus terhadap barangan import dari semua negara dengan kebanyakan barangan datang dari rakan dagang utama seperti China, Kesatuan Eropah (EU) dan Vietnam.
Menurut penganalisis, langkah itu merupakan kenaikan cukai terbesar di AS sejak 1968.
Mereka juga menjangkakan langkah itu akan menyebabkan penguncupan perdagangan sekali gus menyebabkan banyak negara berdepan kemelesetan ekonomi.
CHINA’BALAS DENDAM’
Sebagai tindak balas, Beijing mengenakan pula tarif 34 peratus kepada semua barangan yang diiimport dari AS, menyaksikan kekangan dalam eksport mineral utama, selain menambah jumlah syarikat AS dalam senarai hitamnya, malah menggelar Trump sebagai ‘pembuli’ dan melanggar peraturan perdagangan antarabangsa.
Negara lain pula masih berharap dapat melakukan perbincangan biarpun Rumah Putih sebelum ini sudah memberi isyarat tiada sebarang rundingan akan dilakukan.
Dalam pada itu, EU menyatakan bantahan keras terhadap AS dan sedia untuk berunding.
“EU komited untuk melakukan rundingan yang bermakna dan pada masa sama, kami juga bersedia mempertahankan kepentingan kami, kami akan kekal berhubung dengan AS,” kata Pesuruhjaya Perdagangan EU, Maros Sefcovic.
RISIKO KEMELESETAN EKONOMI MAKIN TINGGI
JP Morgan dalam pada itu menjangkakan kemelesetan ekonomi global tahun ini pada paras lebih 60 peratus berbanding 40 peratus sebelum ini dengan menyatakan kejutan pelaksanaan tarif perdagangan boleh mendorong pertumbuhan di AS turun sebanyak dua peratus tahun ini.
Namun, ada juga sesetengah pelabur meremehkan jangkaan itu dengan menyatakan mereka memperoleh peningkatan keuntungan sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell juga berpendapat, ekonomi negara itu kekal kukuh namun mengakui mempunyai tahap ketidakpastian yang tinggi.
Ulasan
Catat Ulasan