Kenyataan antirasuah Hajiji jenaka terbesar tahun ini - Adun Warisan



Berita
Kenyataan antirasuah Hajiji jenaka terbesar tahun ini - Adun Warisan

Diterbitkan: Apr 28, 2025 8:00 PM
Dikemaskini: 8:00 PM

Seorang Adun Warisan menyifatkan kenyataan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor bahawa dia tegas membanteras rasuah dalam pentadbirannya sebagai “jenaka terbesar tahun 2025”.

Adun Elopura Calvin Chong merujuk laporan Utusan bertajuk “Hajiji tegas banteras rasuah, fokus pembangunan rakyat” yang disiarkan pada Sabtu lalu.

“Ini adalah jenaka terbesar tahun 2025, memang tiada ubat bagi orang yang tidak tahu malu seperti Hajiji Noor selaku pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chong merujuk gambar yang mengiringi laporan itu, yang memaparkan Hajiji di pentas bersama-sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Arifin Arif, Speaker DUN Sabah Kadzim Yahya dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Ali.

“Arifin dan Kadzim terdedah dalam video berhubung skandal rasuah lesen penerokaan mineral yang menjadi bual mulut seluruh masyarakat Malaysia, terutamanya rakyat Sabah semasa ini.

“Armizan pula terkait dengan (dakwaan) melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Kod Etika Anggota Pentadbiran.

“Justeru, Hajiji sama sekali tidak layak untuk bercakap tentang agenda membanteras rasuah kerana kedudukan mereka semua adalah dalam siasatan SPRM berhubung kesalahan rasuah,” kata Chong.
Hajiji Noor

Laporan Utusan tersebut antara lain memetik Hajiji sebagai berkata pentadbirannya menekankan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan.

Ia juga memetik beberapa individu lain, termasuk seorang ahli akademik, yang memuji Hajiji.

Mengulas lanjut, Chong membangkitkan yang SPRM sendiri telah mengambil keterangan Hajiji sebanyak dua kali berhubung skandal rasuah Sabah.

“...Namun dia berkata hendak mengukuhkan integriti perkhidmatan awam dalam pentadbirannya. Apa yang disebutkan olehnya memang kelakar. Dia tidak rasa malu dengan perbuatannya?

“Peribahasa yang sangat sesuai untuk menggambarkan tingkah laku dan sikap Hajiji adalah seperti ‘ketam mengajar anaknya berjalan betul’,” katanya lagi.

Terdahulu, kenyataan Hajiji turut dikritik Ketua Pemuda Bersatu Sabah Mohammad Hisyam Hazaril dan Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah Datu Rosman Datu Ahir Zaman, dengan masing-masing menggesa Hajiji membuktikan komitmennya dalam membanteras rasuah, bukan sekadar mengulangi retorik ketika sidang akhbar.

Ulasan