Kes 39 pelajar kena penyakit berjangkit selepas perkhemahan: Hanya dua masih dirawat - EXCO Kedah
Noorazura Abdul Rahman - April 27, 2025 @ 6:58pm
Mansor (tengah) bersama kakitangan JKN melakukan tinjauan di tapak kem di Yan yang didakwa menyebabkan jangkitan kepada 39 pelajar dan kakitangan sekolah. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman.
YAN: Kes 39 pelajar dikatakan jatuh sakit selepas menyertai perkhemahan di sini baru-baru ini tidaklah seburuk seperti ditularkan di media sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata hanya dua individu yang masih dirawat di hospital, manakala enam lagi dirawat sebagai pesakit luar.
Mereka yang dirawat di hospital adalah pelajar berumur 14 tahun dan pemandu bas berusia 30-an.
"Mereka mengalami jangkitan dan simptom ruam serta lepuh di kulit, dibawa ke Hospital Yan, sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
"Keadaan mereka dilaporkan stabil walaupun pelajar berkenaan sebelum ini dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
"Enam lagi yang dirawat sebagai pesakit luar telah dibenarkan pulang selepas rawatan," katanya ditemui selepas lawatan bersama pegawai Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) di lokasi kejadian, hari ini.
Mansor berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca jangkitan termasuk pengambilan sampel air dan darah, dengan keputusan penuh ujian dijangka mengambil masa.
"Kita tidak boleh membuat andaian sehingga keputusan makmal diperoleh. Buat masa ini, tiada bukti menunjukkan berlakunya jangkitan yang boleh merebak seperti denggi atau penyakit berjangkit lain," katanya.
JKN arah kem ditutup
Sebagai langkah berjaga-jaga, JKN mengarahkan kem berkenaan ditutup sementara serta memeriksa beberapa kem lain yang berdekatan bagi menjamin keselamatan peserta.
Beliau juga meminta orang ramai tidak mempercayai berita tidak sahih yang disebarkan di media sosial dan menunggu pengesahan rasmi daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Kes tidak seburuk digambar di media sosial
"Kita faham kegusaran orang ramai, tetapi kes ini tidak seteruk yang digambarkan. Kita harap pelajar yang masih dirawat akan sembuh sepenuhnya dan boleh kembali bersekolah dalam masa terdekat," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 39 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah di daerah Kuala Muda dikesan mengalami jangkitan akibat penularan penyakit berjangkit selepas menyertai perkhemahan baru-baru ini.
Ulasan
Catat Ulasan