
Keutamaan politik berbanding tunai umrah dan haji
Fahami konteks sebenar tanpa perlu dipolemikkan
April 21, 2025
KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa ‘kemenangan politik lebih utama daripada Haji dan Umrah’ tidak sepatutnya disalahertikan atau dijadikan polemik tanpa memahami konteks sebenar.
Pengamal undang-undang, Yusfarizal Yussoff berkata, kenyataan tersebut bukanlah sesuatu yang baharu dan telah beberapa kali dinyatakan sebelum ini.
“Ramai yang membaca keratan berita media tentang kenyataan Tuan Guru bahawa ‘kemenangan politik lebih utama daripada Haji dan Umrah’ kemudian mereka meroyan.
“Walhal ini bukan kali pertama Tuan Guru berkata demikian. Sudah berkali-kali. Kalau kenyataan itu sesat, sudah lama patutnya JAKIM ambil tindakan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Yusfarizal turut merujuk beberapa fatwa yang pernah dikeluarkan oleh institusi-institusi ulama luar negara berkenaan keutamaan amal tertentu berbanding Haji dan Umrah dalam situasi tertentu.
“Prinsip agama Islam perlu difahami dengan betul dan mendalam, barulah kita berupaya mengaplikasikan prinsip tersebut dalam tindakan kita. Jangan ikut akal dan logik kita semata-mata.
“Fatwa yang menyatakan ada tindakan lain yang lebih utama daripada Haji dan Umrah bukan perkara baru. Pada tahun 2013, Darul Ifta’ mengeluarkan fatwa bahawa memberi makan orang miskin lebih utama daripada Haji dan Umrah. Tidak pula dikatakan Darul Ifta’ mengubah rukun Islam.
“Mufti Besar Libya berfatwa pada tahun 2024 bahawa memberi bantuan kepada Gaza memperolehi pahala lebih berganda daripada melakukan Umrah ketika ini. Tidak pula dikatakan mengubah rukun Islam. Semuanya mengambil kira maslahah dan keutamaan,” katanya.
Menurut beliau, penguasaan politik oleh umat Islam adalah penting bagi memastikan pentadbiran negara tidak terjejas.
“Kita sudah lihat dengan mata kepala kita apa akan terjadi kalau orang Islam tidak menguasai pentadbiran.
“Di Iraq pada tahun 2024, pembentangan belanjawan dan pelantikan speaker terpaksa ditangguhkan kerana 80 ahli dewan pergi menunaikan haji. Tidakkah itu merencatkan pentadbiran sebuah negara umat Islam.
“Apa yang dipesan oleh Tuan Guru adalah perkara munasabah. Bagi sesiapa yang terlibat mengundi di dalam PRK Ayer Kuning, mereka wajib mengundi dan kalau boleh ditangguhkan dahulu umrah, tangguhkan. Itu sahaja. Haji lambat lagi,” katanya.
Yusfarizal menyeru orang ramai agar tidak cepat menghukum atau melabel pandangan tertentu sebagai ‘sesat’ tanpa ilmu.
“Yang tidak berpuas hati sampai menyatakan ia fatwa sesat dan mengubah rukun Islam itu kenapa? Adakah kamu pula mahu ‘mentakfirkan orang’.
“Saya bukan pandai agama, namun saya kira dinamika ‘fiqh siyasah’ ini perlu difahami betul-betul. Bukankah kita mahu progresif?
“Janganlah kita mahu progresif pemikiran tentang keterbukaan kepada bukan Islam sahaja sehingga lambang bulan sabit dalam bendera juga hilang tidak mengapa, namun bab umat Islam kita mahu tertutup pula,” katanya.
Menurut beliau, umat Islam perlu bersikap terbuka dan progresif dalam memahami isu-isu kontemporari berkaitan kepentingan agama dan umat.
“Sebab itulah memahami sirah tentang Hudaibiyah dan konteksnya dengan mendalam itu penting supaya kita terpandu ke arah yang progresif untuk kemaslahatan agama dan umatnya.
“Saya tidak mengatakan pandangan Tuan Guru terlalu betul atau betul dalam semua keadaan, namun bukalah fikiran dan kalau boleh berhujah, hujahlah dengan ilmu untuk menyatakan sebaliknya,” katanya.
Beliau turut setuju untuk pihak berkuasa agama menilai pandangan tersebut dan mengeluarkan fatwa khusus untuk itu.
“Semoga kita semua lebih jelas kedudukannya,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Negeri Selangor. – HARAKAHDAILY 21/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan