Khidmat Malaysia bantu mangsa insiden Putra Heights



Khidmat Malaysia bantu mangsa insiden Putra Heights
April 1, 2025

Anggota Khidmat Malaysia di Masjid Kampung Tengah

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) turut membantu penduduk yang terjejas akibat kebakaran besar selepas letupan membabitkan saluran paip gas di Putra Heights, hari ini.

Setiausaha Khidmat Malaysia, Ashrul Hisyam Abdul Jalil, berada di Masjid Kampung Tengah, Puchong sebagai pangkalan perubatan bagi tragedi kebakaran itu, selain terlibat memberikan bantuan di Zon Hijau.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, melalui siaran secara langsung yang disiarkan oleh Tiktokers di laman aplikasi Tiktok, kebakaran tersebut kelihatan sangat membimbangkan akan memberi kesan kepada penduduk berdekatan.

Berikutan itu, katanya Khidmat Malaysia kawasan Puchong telah membuat pemantauan terhadap kejadian itu.

Menurutnya, Ashrul Hisyam yang juga Penyelaras Khidmat Malaysia Puchong, memaklumkan bahawa usaha untuk mengumpulkan petugas bagi membantu mangsa yang tercedera akibat melecur telah dilakukan melalui Lajnah Kesihatan PAS, PAPISMA, MEDICOM serta petugas ambulans Amal Health Care bagi menghantar petugas Medik ke kawasan bencana.

Katanya, ini diikuti dengan usaha mengumpulkan petugas Medik ke Masjid Nurul Iman di Kampung Tengah kerana dilaporkan bahawa ramai yang melecur akibat kebakaran itu.

“Khidmat Malaysia juga meminta petugas dan sukarelawan berhampiran lokasi itu supaya dapat menghubunginya dengan segera.

“Khidmat Malaysia juga membantu mangsa di Zon Hijau selepas mangsa dikeluarkan dari kawasan bencana,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/4/2025

Ulasan