
Komunisme: Gesa kerajaan jelas status pengharaman
April 7, 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu tampil dengan penjelasan rasmi berhubung status pengharaman ideologi komunisme di negara ini, sama ada ia masih sah dari sudut undang-undang atau telah luput secara teknikal.
Bekas Presiden Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, kekaburan dalam perundangan berkaitan komunisme membuka ruang kepada kebangkitan semula fahaman tersebut dalam bentuk baharu yang lebih terselindung.
“Apakah komunisme itu masih merupakan badan haram di Semenanjung ataupun isu ini sudah menjadi akademik? Ini penting dijawab oleh kerajaan,” gesanya.
Beliau mendesak demikian dalam sidang media isu Persatuan Promosi Satu Cina di Wisma Budi, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini hari ini.
Rais berkata, komunisme bukan sekadar ancaman teori atau sejarah, sebaliknya telah terbukti mengorbankan lebih 11,000 nyawa sepanjang era darurat dari 1948 hingga 1960.
“(Seramai) 500 askar gugur, lebih 8,000 orang cedera. Apakah ini tidak penting? Kita mesti lihat semula isu ini sebagai ancaman terhadap negara dan nilai kenegaraan,” tegasnya.
Tambah beliau, warta kerajaan pada 1998 yang menyenaraikan komunisme sebagai musuh negara perlu diperiksa kembali kesahihannya, terutama selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dimansuhkan.
“Jika komunisme masih sesuatu yang harus diharamkan, maka hendaklah jelas pendirian kerajaan di situ. Nyatakan sumbernya, aktanya, wartanya, tarikhnya dan rujukannya. Jika tidak, kenapa tidak?
“Saya tidak nampak ini dilakukan. Ia seolah-olah membiarkan bibit-bibit komunisme muncul semula di Pulau Pinang, Taiping, Johor Bahru, Kuantan, Melaka dan beberapa tempat lain,” katanya yang juga bekas Menteri Penerangan.
Rais juga turut menegaskan bahawa beliau telah menjalankan kajian sendiri dan mendapati tiada kejelasan dari segi undang-undang yang boleh menjadi rujukan tegas terhadap larangan aktiviti berkaitan komunisme pada masa itu.
Beliau berkata, peranan Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Dalam Negeri amat penting bagi menentukan kedudukan sah pengharaman tersebut.
“Ini bukan perkara kecil. Jika tidak dibendung, demokrasi kita akan hancur,” peringat beliau yang berpengalaman undang-undang serta lama berada dalam pentadbiran kerajaan. – HARAKAHDAILY 7/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan