Lawan cara matang, bukan dengan politik binatang!



Lawan cara matang, bukan dengan politik binatang!
April 12, 2025

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap isu disifatkan sebagai peningkatan budaya intimidasi politik yang semakin ketara di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

Ketuanya, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, tindakan memburu rakyat yang bersuara secara sah dan berhemah adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa dan tidak wajar berlaku dalam sesebuah negara demokrasi.

Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu, Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap warganegara untuk bersuara, dan tiada pihak termasuk kerajaan berhak merampas hak itu sewenangnya atas alasan menjaga kestabilan atau ‘keselamatan awam’.

“Realiti semasa jelas menggambarkan sikap tidak bertoleransi terhadap pandangan berbeza. Tekanan (berlaku) terhadap ahli akademik, pelajar, aktivis dan penjawat awam.

“Melalui siasatan, ugutan dan pemantauan oleh agensi penguat kuasa merupakan taktik kuku besi yang menafikan prinsip demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merujuk pendedahan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mengatakan dirinya dilabel sebagai pemegang status ‘TCO’ (Perintah Kawalan Perjalanan), iaitu satu bentuk pemantauan penuh oleh pihak berkuasa.

“Lebih mengejutkan, beliau bukan satu-satunya pemimpin pembangkang yang menerima layanan sebegini. Ini adalah bentuk intimidasi politik yang sangat serius,” katanya.

Afnan turut mempersoalkan sama ada perbezaan pandangan politik kini dianggap sebagai satu bentuk ancaman keselamatan, sambil menyifatkan tindakan melabel pemimpin pembangkang dengan status sedemikian sebagai penyalahgunaan kuasa.

“Tindakan melabel pemimpin pembangkang dengan status ‘TCO’ ini menimbulkan persoalan besar tentang arah tuju pentadbiran negara. Apakah perbezaan pandangan politik kini dianggap satu bentuk ancaman keselamatan?

“Tindakan sebegini bukan sahaja tidak berasas, malah mencerminkan penyalahgunaan kuasa terhadap lawan politik. Lebih membimbangkan, agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya bebas dan profesional kini dilihat digunakan sebagai alat politik.

“(Iaitu) untuk menekan pihak yang tidak sealiran dengan kerajaan. Perkara ini amat berbahaya kerana ia menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti institusi negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, Pemuda PAS katanya, menggesa Kerajaan Madani menghentikan segera segala bentuk tekanan, pemantauan dan intimidasi terhadap rakyat, khususnya mereka yang bersuara dalam ruang demokrasi.

“Jangan sesekali jadikan agensi kerajaan sebagai alat mempertahankan naratif politik kalian. Jika kalian berani, hadaplah mereka yang berbeza pandangan dengan cara yang matang.

“Bukan dengan cara politik binatang yang menakutkan dan mengancam lawan dengan kekerasan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 12/4/2025

Ulasan