Lepas bersama DAP tidak pedulikan lagi keluhan rakyat

Lepas bersama DAP tidak pedulikan lagi keluhan rakyat
April 25, 2025

TAPAH: Perpecahan kaum dalam negara realitinya adalah dicetuskan oleh DAP, sehubungan itu PERIKATAN NASIONAL (PN) berikrar menentang parti itu habis-habisan, demikian tegas Timbalan Pengerusi PN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin.

Jelas beliau, DAP telah memecah-belahkan rakyat pelbagai kaum dalam negara ini dengan menceritakan bermacam perkara yang seolah-olah pihak lain buruk sepertimana mereka memperburukkan Kerajaan Negeri Kelantan diterajui PAS.

Walhal katanya, tidak ada orang Cina di negeri Kelantan lari daripada negeri itu, malah patung Buddha yang besar ada di Kelantan dan banyak juga tokong-tokong Cina ada di Kelantan, selain bermacam perniagaan boleh orang Cina lakukan di Kelantan.

“Tetapi yang memecah-belahkan kita adalah cerita-cerita yang tidak benar yang telah dibangkitkan oleh DAP,” ujar beliau dalam Ceramah Grand Finale PN PRK DUN N.48 Ayer Kuning di Taman Golf, Bidor, di sini malam tadi.

Di Pulau Pinang katanya, yang DAP merupakan majoriti, terdapat banyak perkara telahpun dilakukan secara menipu rakyat, contohnya pembinaan transit aliran ringan (LRT) di mana dilaung-laungkan akan dibuat secara tender terbuka.

“Tetapi akhirnya mereka berikan konon-kononnya kepada sebuah syarikat kerana syarikat itu membuat satu tawaran melalui inisiatif swasta. Kemudian kita bangkit di parlimen, kita tentang, dan mereka kata tidak, ianya adalah merupakan projek swasta bersama dengan kerajaan.

“Kita tak bersetuju, tapi mereka tidak pedulikan kepada apa yang kita zahirkan, yang apa kita suarakan di parlimen, mereka tak kisah langsung. Dan akhirnya hari ini, saya nak maklumkan projek LRT itu akan dibiayai 100 peratus oleh kerajaan.

“Apa nak jadi ini? Dengan terang-terang mereka menipu rakyat di seluruh negara,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Larut dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Umno bersama DAP: ‘UmDAP’

Dalam pada itu katanya, Umno yang dahulu berbangga dengan perjuangan asal demi masa depan agama, bangsa dan tanah air, tetapi hari ini sebaliknya hanya berbangga dan bersikap mengejar kedudukan jawatan semata-mata.

Presiden Umno katanya, pernah menyebut walaupun parti itu hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, tetapi dapat memegang tujuh jawatan penting dalam Kabinet Kerajaan, sedangkan bukan itu yang rakyat mahukan.

Bidas Hamzah juga, walaupun Presiden Umno menafikan kononnya parti itu tidak pernah bergabung dengan DAP, tetapi realitinya mereka duduk bersama dalam Kabinet dan kerajaan serta mengadakan berbincang bersama.

Malah menurutnya, ketika Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming melaungkan ‘UmDAP mantap’, ‘UmDAP mantap’, ‘UmDAP mantap’ yang menunjukkan kebersamaan Umno dan DAP, salah seorang Pegawai Presiden Umno turut berada di situ.

Begitu juga di negeri Perak katanya, Umno dengan hanya memenangi sembilan kerusi Dewan Negeri, tetapi mereka cukup berbangga mendapat kerusi yang paling besar di dalam negeri ini iaitu menjadi Menteri Besar.

Cerita beliau, sedangkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, pihak PN yang menang 26 kerusi telah menemui wakil Umno untuk membentuk kerajaan bersama dengan majoriti 35 kerusi dan sanggup memberi jawatan Menteri Besar kepada Umno.

“Apa yang berlaku? Presiden Umno membuat keputusan bahawa DAP lebih baik daripada PN. Masya-Allah. Allah nak tunjukkan kepada kita semua, mereka (Umno) hari ini semata-mata mahukan jawatan.

“Kalau benar-benar mereka pegang perjuangan Umno, membela nasib agama, bangsa dan tanah air ini, sudah tentu mereka tidak rela untuk bergabung dengan DAP,” ujarnya penuh terkejut dan kesal dengan pendirian pemimpin ‘UmDAP’.

Pemimpin ‘UmDAP’ abai keluhan rakyat

“Hari ini masa depan negeri dan negara ini tergantung kepada isyarat kita. Berikan isyarat kepada pemimpin-pemimpin Umno, bahawa kita tidak rela negara ini, negeri ini diperkotak-katikkan. Umno bukannya majoriti. Umno adalah minoriti dalam kerajaan yang ada hari ini.

“Sebab itu apa saja yang dibangkitkan oleh rakyat tidak diambil peduli oleh Umno. Kerana mereka sebenarnya tidak berkuasa. Cuba kita lihat hari ini masalah ladang babi. Lihat apa yang berlaku. Umno langsung tidak mahu mendengar rintihan rakyat Ayer Kuning.

“Saya difahamkan ada sembilan ladang babi di sini (DUN Ayer Kuning). Saya difahamkan di daerah (Batang Padang dan Muallim) ini ada 30 ladang babi di sini,” ujarnya berdasarkan rekod asal daripada Jabatan Veterinar.

Menurut beliau, daripada makluman penduduk-penduduk kampung, asalnya hanya didirikan kandang sahaja, tetapi dengan lesen diberikan kerajaan, keluasan ladang ditambah menjadi semakin besar dengan cara membeli tanah bersebelahan.

Keadaan tersebut difahamkan kepada beliau, menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk dalam kalangan orang Melayu yang terhimpit oleh bau busuk dan akhirnya terpaksa berpindah dan menjual tanah kampung mereka lalu dibeli oleh penternak babi.

Namun kesalinya, isu tersebut yang turut melibatkan pencemaran ke atas Sungai Bidor sedangkan ia menjadi kegunaan untuk bekalan air kedua kepada penduduk, sekadar mendapat reaksi seadanya daripada pemimpin Umno.

Bidasnya, jawapan pemimpin Umno bahawa ladang-ladang berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) adalah pembohongan kepada semua pihak sedangkan kajian makmal swasta membuktikan sungai itu dicemari najis babi.

“Kita sayangkan Umno, tetapi lebih sayangkan kepada rakyat, lebih sayangkan kepada masa depan anak cucu keluar, maka kena keluar mengundi PN. Tetapi kalau kita tidak peduli tentang masa depan anak cucu sehinggakan tanah-tanah kita nanti dibeli oleh ladang-ladang babi, undilah Umno yang sekarang jadi ‘UmDAP’.

“Hari ini kalau ‘complain’ rakyat tidak langsung didengari Umno, apa guna kita melantik mereka wakil rakyat, menjadi pemimpin? Di peringkat nasional, Kerajaan Persekutuan yang ada hari ini macam-macam masalah yang ada.

“Di Kampung Baru, di Kampung Sungai Baru juga telah pun berlaku. Mereka mengambil tanah-tanah tersebut. Masalah yang berlaku dengan ‘Abang Belon’. Masalah yang berlaku dengan KL Tower. Masalah bendera. Masalah kes Yusuf Rawther.

“Semua ini, pemimpin-pemimpin Umno diam membisu. Apakah ini yang kita mahukan? Kalau mereka mahu bergabung dengan DAP, bergabunglah. Tetapi jangan sampai di Umno dicucuk hidung, jangan sampai mereka ditarik ke mana-mana,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 25/4/2025

Ulasan